KJ: CITF Persekutuan hanya tahu negeri beri vaksin kepada pekerja hotel di Genting selepas mula

KJ: CITF Persekutuan hanya tahu negeri beri vaksin kepada pekerja hotel di Genting selepas mula

Menteri Khairy Jamaluddin berkata, CITF Pahang beri vaksin dos pertama kepada pekerja hotel di Genting Highlands dan lapan kawasan lain selepas penerima dalam kumpulan keutamaan Fasa I selesai divaksin.

Ada beberapa negeri yang beranggapan mereka boleh mula memberikan vaksin kepada kumpulan penerima lain, apabila selesai vaksinasi kepada penerima fasa pertama, kata Khairy Jamaluddin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, mendedahkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Persekutuan hanya tahu CITF Negeri memberikan vaksin kepada pekerja hotel di Genting Highlands selepas mereka memulakan vaksinasi.

Susulan kejadian itu, Khairy pada 12 April menulis surat kepada kerajaan Pahang menegaskan keputusan untuk menyenaraikan kumpulan awal penerima vaksin bawah bidang selia Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

“Sehingga mana-mana kumpulan disenaraikan, keputusan senarai keutamaan terdahulu adalah terpakai,” katanya dalam kenyataan, menjawab dakwaan di media sosial bahawa pekerja Genting Group menerima vaksin atas arahannya.

“Saya menafikan saya pernah mengeluarkan apa-apa arahan seperti dakwaan tersebut.”

Khairy menjelaskan penetapan kumpulan penerima vaksin mengikut suatu garis panduan seperti yang dikeluarkan JKJAV, manakala janji temu vaksinasi diurus CITF Negeri mengikut senarai yang disediakan di peringkat negeri.

Bagaimanapun, terdapat beberapa negeri beranggapan mereka boleh memberikan vaksinasi kepada kumpulan penerima lain apabila selesai vaksinasi penerima Fasa I PICK.

Bagi kes di Pahang, CITF Negeri membuat keputusan untuk memberikan vaksin kepada pekerja sektor pelancongan, melibatkan 56 buah hotel di Genting Highlands, Cameron Highlands, Bukit Tinggi, Bukit Fraser, Bentong, Kuantan, Jerantut, Raub, dan Mentakab.

“Keputusan pemberian ini dibuat apabila Pahang selesai memberikan vaksinasi dos pertama (sementara menunggu selang masa bagi dos kedua) kepada semua penerima yang tersenarai dalam kumpulan keutamaan Fasa I,” katanya.

“CITF Persekutuan hanya mengetahui tentang keputusan CITF Negeri ini selepas mereka memulakan vaksinasi kepada kumpulan tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.