Dana RM70 juta untuk selaras, bangunkan sistem daftar vaksin, kata KJ

Dana RM70 juta untuk selaras, bangunkan sistem daftar vaksin, kata KJ

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu turut menjelaskan setiap peruntukan bagi melaksanakan semua item berkenaan adalah mengikut had siling ditetapkan Kementerian Kewangan.

Khairy Jamaluddin berkata, PICK merupakan program imunisasi terbesar pernah dilaksanakan di negara ini.
PETALING JAYA:
Peruntukan RM70 juta daripada RM5 bilion bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah bagi menyelaras dan membangunkan sistem pengantara yang memudahkan proses pendaftaran penerima vaksin, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras program itu berkata, ia juga bagi memantau bekalan vaksin dari penerimaan sehingga selesai vaksinasi dos lengkap di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Katanya, antara sistem dibangunkan adalah pengurusan dan pemantauan pencapaian program PICK, papan pemuka laporan harian, integrasi sistem menghubungkan pangkalan data MySejahtera dengan sistem farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), pembangunan sistem chatbot dan pembangunan laman portal pendaftaran vaksin.

“Selain itu, sistem pengesanan pendaftaran dan vaksinasi serta pembangunan perkhidmatan Google Map (sistem pengesanan dalam MySejahtera), pemantauan genomik serta imunisasi, perolehan pengurusan Queue Mobile untuk PPV, integrasi sistem pasport digital dan pengurusan logistik serta rangkaian penghantaran vaksin.

“Pengendalian pusat panggilan berpusat, sistem MyVAC (Malaysian Vaccine Support Volunteers) bagi pengurusan mobilisasi sukarelawan dan penghantaran sistem pesanan ringkas serta panggilan peringatan vaksinasi antara lima hingga 10 kali bagi setiap orang,” kata beliau dalam kenyataan.

Khairy menjawab persoalan dibangkitkan menerusi media sosial mengenai dana RM70 juta bagi menbangunkan Integrasi Data dan Sistem Janji Temu PICK.

Beliau turut menjelaskan setiap peruntukan bagi melaksanakan semua item berkenaan mengikut had siling ditetapkan Kementerian Kewangan.

“Walaupun jumlah akhir perbelanjaan masih belum muktamad tetapi ia tidak boleh melebihi paras siling yang ditetapkan.

“PICK merupakan program imunisasi terbesar pernah dilaksanakan di Malaysia melibatkan sejumlah 26.5 juta orang atau bersamaan 80% keseluruhan populasi negara yang pasti memerlukan sejumlah peruntukan mencukupi bagi membolehkan ia dilaksanakan dengan sempurna dan tersusun,” kata beliau.

Justeru, tambah beliau, tidak timbul persoalan yang mendakwa seolah-olah peruntukan dibelanjakan tidak berhemah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.