SPRM serah 2 pegawai kepada polis dalam operasi terhadap ‘Geng Nicky’

SPRM serah 2 pegawai kepada polis dalam operasi terhadap ‘Geng Nicky’

Seorang penolong pesuruhjaya dan seorang penguasa SPRM yang bertugas di ibu pejabat SPRM diserah kepada polis.

Azam Baki. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan dua pegawainya kepada polis dalam operasi terhadap ‘Geng Nicky’ di serata negara.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki mengesahkan penahanan seorang penolong pesuruhjaya dan penguasa yang bertugas di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan haram kumpulan itu.

“Saya memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam hal ini malah akan menyerahkan lagi mana-mana pegawai suruhanjaya sekiranya ada yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, mengumumkan dua pegawai SPRM ditahan bersama 10 pegawai polis dalam Ops Pelican 3.0 Fasa II yang dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dari 21 Apr hingga 27 Apr.

Antara pegawai polis ditahan adalah seorang dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman; dan seorang dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.