
Merujuk kepada Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang digelarnya sebagai “kluster spin”, Zahid mempersoalkan parti manakah yang berkuasa mutlak dalam kerajaan pusat.
“Memang sah ini kluster spin Bersatu. Apa mandat Umno untuk menentukan hala tuju pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan adakah perdana menteri atau menteri kewangan dari Umno?
“Kluster spin Bersatu semakin merapu apabila cuba menunding jari kepada menteri dari Umno dalam kerajaan PN disebalik penggunaan dana KWAN,” katanya dalam catatan di Facebook.
Katanya lagi, kluster spin itu mendakwa Umno gagal berbincang di peringkat dalaman dengan menteri dari UMNO yang menjaga hal kesihatan dan vaksin kerana terlalu ghairah mahu tunjuk pandai.
Zahid berkata, wang KWSP adalah milik rakyat dan mereka menggunakan wang mereka sendiri untuk kegunaan pada waktu sukar.
“Dana KWAN pula tabung amanah negara sebagai sumber berterusan negara dan generasi akan datang.
“Objektifnya ia digunakan apabila sumber semulajadi negara contohnya minyak menyusut.”
“Tetapi ia mahu dikorek kerajaan PN sebelum tiba masa dengan alasan Covid-19 selepas begitu banyak wang negara diperuntukkan untuk tujuan sama.” katanya.
Pada 21 April lalu, kerajaan meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana KWAN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.
Ia dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.
KWAN ditubuhkan pada 1988 sebagai tabung masa depan negara dengan dananya disumbang menerusi Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.