
Beliau berkata demikian selepas menerima pelbagai kritikan daripada netizen berhubung nilai kompaun peniaga burger itu berbanding denda RM60,000 terhadap diri dan keluarganya.
Neelofa bersama suaminya, Haris Ismail dan 20 ahli keluarganya dikompaun kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) membabitkan majlis pernikahan pasangan itu dan kebenaran untuk merentas negeri.
Dalam beberapa catatan di Instagram, Neelofa berkata, peguamnya sudah menghubungi peniaga itu, yang didenda kerana menjual burger di depan rumahnya melebihi jam 10 malam seperti dibenarkan, untuk mendapatkan butiran bagi membantunya membayar kompaun itu.
Katanya, orang ramai salah faham mengenai gambar burger terdahulu yang kini dipadamkan, dengan kapsyen “moreh burger malam ni meh” yang bukan bertujuan menghina.

Dalam satu tangkap layar, seseorang didakwa daripada pasukan pengurusannya berkata, mereka sudah menghubungi polis dan peniaga burger itu, yang berkata beliau akan memaklumkan mereka mengenai perkembangannya.
Dua kompaun itu mencetuskan kekecohan dalam media sosial hari ini, dengan ramai mendakwa pihak berkuasa mengamalkan dwistandard dalam penguatkuasaannya.
Susulan itu, “Neelofa” kini menjadi “trending” di Twitter.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat dalam kenyataan hari ini berkata, polis akan mengurangkan kompaun kepada peniaga burger itu dan dua peniaga kedai makan lain kerana beroperasi melebihi masa ketika PKP.
Katanya, tiga peniaga itu akan dipanggil dan pengurangan nilai kompaun itu akan dibuat mengikut garis panduan bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Kompaun RM50,000 kepada peniaga burger itu turut dikecam ahli politik dan pihak lain, termasuk Presiden Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura, Wong Teu Hoon, yang berkata amaran patut diberikan sebelum mengeluarkan kompaun kerana “malah denda RM500 terlalu tinggi buat peniaga tepi jalan”.
Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menggesa pihak berkuasa lebih berbelas kasihan terhadap individu yang bergelut untuk meneruskan kehidupan.
“Laksanakan dengan tegas, tetapi laksanakan juga dengan adil dan bertimbang rasa. Keadilan di tangan kanan, ihsan di tangan kiri. Tanpa ihsan, maka tiadalah pertimbangan untuk keadilan.
“Bagaimana beliau mampu melunaskan jumlah yang besar itu kerana beliau hanya berniaga burger. Bagi golongan B40 seperti peniaga tersebut, tindakan tersebut pasti sangat membebankan,” tulisnya di Facebook.