
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pihak menyebarkan maklumat itu mengikut Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan.
“Polis Johor mengesan satu maklumat sulit mengenai senarai nama 12 individu agensi penguat kuasa yang ditahan bersabit ‘Geng Nicky’ yang dikongsi dan disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp oleh pihak tertentu.
“Polis Johor akan mengesan individu terbabit dan mengenal pasti punca kebocoran maklumat berkenaan.
“Jika sabit kesalahan kerana menyebarkan maklumat itu, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara hingga setahun atau kedua-dua sekali.
“Justeru, mana-mana pihak dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat terbabit dan bagi pihak yang menyebarkan maklumat itu, tindakan akan diambil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, katanya, polis menahan 10 pegawai sendiri termasuk seorang dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dalam operasi terhadap ‘Geng Nicky’ di serata negara.
Selain pegawai dari jabatan tatatertib itu, Ops Pelican 3.0 Fasa II menyaksikan seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman; empat pegawai dari Kontinjen Selangor temasuk ketua balai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, ditahan.
“Di Kontinjen Melaka, seorang ditahan dari IPD Melaka Tengah; di Kontinjen Kuala Lumpur, dua pegawai dari IPD Sentul; dan Kontinjen Negeri Sembilan, seorang pegawai bertugas di Pusat Latihan Polis Air Hitam,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, polis turut menahan masing-masing seorang penolong pesuruhjaya dan penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bertugas di ibu pejabat badan antirasuah itu di Putrajaya.