Kerajaan cuba batal tuntutan kewarganegaraan untuk anak oleh enam ibu, NGO

Kerajaan cuba batal tuntutan kewarganegaraan untuk anak oleh enam ibu, NGO

Peguam Gurdial Singh Nijar berkata Perlembagaan tidak secara jelas menghalang wanita di negara ini menurunkan kewarganegaraan kepada anak mereka.

Anggota Family Frontiers dan peguam mereka memegang papan plakad, “Saya Juga Anak Malaysia” atau “Saya juga warganegara Malaysia”, selepas perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Kerajaan memohon membatalkan deklarasi oleh badan bukan kerajaan, Family Frontiers dan enam ibu bahawa mereka yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapatkan kewarganegaraan Malaysia untuk anak mereka.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa tuntutan itu adalah semberono, remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berkata, Perkara 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan hanya memberikan hak seorang anak yang lahir di luar negara untuk memperolehi kewarganegaraan Malaysia jika bapanya adalah rakyat tempatan.

Ahmad berkata konvensyen antarabangsa seperti Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) dan Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak yang disokong kerajaan, tidak relevan.

Katanya, ini kerana Parlimen masih belum meluluskan undang-undang yang merangkumi peruntukan berkenaan.

Tambah Hanir, Family Frontiers tidak berhak membawa tuntutan itu ke mahkamah.

Peguam Gurdial Singh Nijar, yang mewakili kumpulan itu, memberitahu mahkamah, kerajaan mengabaikan Perkara 8 (2) Perlembagaan, yang menetapkan bahawa mana-mana warganegara tidak akan didiskriminasi atas dasar agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau pelantikan ke mana-mana pejabat awam.

Oleh itu, menurut beliau, mahkamah perlu membaca Perkara 14 (1) (b) tentang kewarganegaraan bersama dengan Perkara 8 (2) itu.

Beliau berhujah, Perkara 8 (2) perlu diberi keutamaan kerana peruntukan itu menggariskan hak-hak asasi Perlembagaan.

Tambah Gurdial pihak berkuasa perlu mengambil kira konvensyen antarabangsa ketika membuat keputusan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, pemohon utama Suriani Kempe dari Family Frontiers berkata tindakan kerajaan berusaha membatalkan tuntutan mereka menunjukkan ketiadaan belas kasihan.

“Kerajaan mendakwa tindakan kami ini ‘menyusahkan’ mereka, padahal peruntukan undang-undang yang bersifat diskriminasi dan ketinggalan zaman inilah yang …terus mendatangkan begitu banyak masalah kepada ibu-ibu di negara ini.

“Pengalaman mereka jauh sekali semberono mahupun ‘remeh’. Ia merobek struktur sosial kekeluargaan di negara ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.