
Ini bercanggah jaminan Saifuddin di Parlimen semua pemain melalui tapisan dan ujian bahasa yang betul.
Laporan Jawatankuasa Rayuan Fifa — disokong keterangan pemain — mendapati beberapa pemain tidak boleh berbahasa Melayu dan menandatangani dokumen tanpa memahaminya.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata pendedahan itu menimbulkan keraguan terhadap integriti proses kewarganegaraan dan mencetus kebimbangan bahawa prosedur telah dilonggarkan atau dipalsukan.
Sehubungan itu, C4 mahu Saifuddin menjelaskan bagaimana pemain lulus ujian bahasa, siapa meluluskan permohonan mereka, dan sama ada wujud tekanan luar.
“Pendedahan Fifa menunjukkan proses kewarganegaraan negara telah dicabuli dengan serius.
“Saifuddin mesti menjelaskan bagaimana pemalsuan sebesar ini boleh berlaku di bawah kawalannya,” kata C4.
C4 turut menegaskan penjelasan Saifuddin mengenai penggunaan budi bicara tidak menjawab isu pemalsuan, sambil menyifatkan keadaan itu tidak adil kepada ramai individu tanpa kewarganegaraan di Malaysia.
Fifa mendapati dokumen Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mendakwa datuk nenek pemain lahir di Malaysia bercanggah dengan rekod sebenar yang menunjukkan mereka lahir di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.
Fifa akan menyiasat operasi dalaman FAM serta menggesa pihak berkuasa Malaysia turut menyiasat pemalsuan dokumen.
C4 juga mahu semua pegawai FAM yang terlibat digantung tugas dan reformasi tadbir urus dilaksanakan dengan menegaskan penipuan sebesar itu mustahil dilakukan pegawai bawahan sahaja dan tindakan tegas mesti dikenakan terhadap semua dalang.