Fikir semula dasar imigresen bagi pasangan asing demi keluarga, kata kumpulan

Fikir semula dasar imigresen bagi pasangan asing demi keluarga, kata kumpulan

Pertimbangan sewajarnya harus dibuat bagi ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia yang terdiri daripada warga asing.

Permohonan visa pasangan ditolak, selain pemohon terpaksa menunggu giliran yang lama untuk janji temu dan Jabatan Imigresen mahu mereka yang tidak mempunyai visa, segera meninggalkan negara ini.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu memikirkan semula dasar imigresen bagi pasangan asing kerana banyak keluarga di Malaysia, atau salah seorang ahlinya, kini berdepan risiko diminta pulang ke negara asal mereka, gesa sebuah kumpulan.

Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG) berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai pasangan yang diminta meninggalkan negara ini, dengan permohonan pas lawatan sosial jangka panjang oleh ramai antara mereka ditolak.

Bina Ramanand.

Pengasas bersama FSSG, Bina Ramanand berkata, impak langsung kepada keluarga dengan pasangan asing adalah trauma emosi yang tidak perlu, selain kehabisan sumber kewangan.

Kata beliau, ramai pasangan asing diminta meninggalkan negara apabila mereka menukar visa asal mereka kepada visa pasangan.

“Ini berlaku ketika wabak Covid-19 sedang memuncak, di mana tiket penerbangan mahal dan kuarantin diwajibkan,” kata beliau.

Kata Bina, sebilangan pasangan asing di Malaysia tidak dapat pergi ke kedutaan mereka untuk mendapatkan dokumen yang diperlukan atas sebab sekatan pergerakan atau kesihatan, selain beban jagaan.

“Nampaknya tiada langsung pertimbangan terhadap ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia, mahupun keadaan di mana ibu yang sedang menyusu, atau bapa, yang mungkin menanggung keluarga mereka.

“Kita bukan bercakap tentang perjalanan dari Pulau Pinang ke Putrajaya, tetapi dari Kuala Lumpur ke Ghana, atau ke Brazil. Pergi balik, kos penerbangannya boleh jadi sangat mahal,” kata beliau.

“Pertimbangan sewajarnya harus dibuat bagi ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia agar mereka tidak mengalami kerisauan dan tekanan kewangan apabila sumber pendapatan berkurang,” katanya.

Pengurus program Family Frontiers Malaysia, Melinda Anne Sharlini berkata, sebagai permulaan, garis panduan yang lebih jelas perlu ditetapkan bagi warga tempatan yang mempunyai pasangan warga asing dan anak yang dilahirkan di sini supaya unit keluarga itu tidak terjejas dan mereka tidak terbeban dari segi kewangan.

Kata beliau, memandangkan wabak sedang melanda, kerajaan patut mengkaji semula prosedurnya, berbelas kasihan terhadap ahli keluarga rakyat Malaysia yang terdiri daripada warga asing, dan menggunakan kaedah digital bagi kelulusan pantas visa.

“Ya, memang ada perkahwinan palsu di Malaysia, tetapi negara ini bukan satu-satunya negara yang ada perkahwinan palsu, dan tiada sebab untuk melayan semua orang seperti mereka dalam perkahwinan palsu.

“Negara-negara lain ada sistem untuk mengenal pasti perkahwinan palsu. Kaedah yang sama perlu diguna pakai di sini bagi mengelakkan impak yang negatif dan tidak setara terhadap wanita dan kanak-kanak,” kata beliau.

Melinda juga menyentuh tentang sistem janji temu dalam talian semasa yang mempunyai senarai menunggu tiga bulan.

Tempoh yang lama ini menyebabkan permohonan visa pasangan asing atau lanjutan pas lawatan sosial menjadi “mustahil”, terutamanya selepas kerajaan menetapkan tarikh akhir 21 April untuk “pulang ke negara asal” baru-baru ini.

Oleh kerana bilangan keluarga berbilang kewarganegaraan dan warga asing, secara umumnya, telah meningkat, kata beliau, Jabatan Imigresen sepatutnya menambah kakitangan untuk menampung permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan visa.

“Perlu ada lebih kejelasan dan ketelusan dalam proses, supaya ia tidak ditafsirkan sewenang-wenangnya oleh pegawai.

“Pasangan perlu dilayan dengan penuh hormat dan bermaruah, dan pertimbangan sewajarnya perlu dibuat terhadap status keluarga mereka melalui dasar yang mesra keluarga,” kata beliau.

Adrian Pereira.

Pengarah eksekutif Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata, kerajaan perlu memiliki lebih rasa empati terhadap mereka yang terkesan.

“Memang mereka boleh pergi dan kembali, tetapi kenapa menyusahkan mereka ketika banyak sempadan lain juga ditutup? Kita perlu lebih memiliki rasa empati dalam menangani isu ini.

“Mari kita luangkan lebih masa memikirkan formula yang holistik untuk mereka yang ingin kekal berada di sini, dan memudahkan (urusan) mereka,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.