Permohonan Azmin batal saman pengundi Gombak didengar 30 Jun

Permohonan Azmin batal saman pengundi Gombak didengar 30 Jun

Sekumpulan pengundi berdaftar di Parlimen Gombak memfailkan saman tahun lalu atas dakwaan Azmin melanggar kewajipan fidusiari menerusi 'Langkah Sheraton'.

Semua 10 pengundi berdaftar itu memfailkan saman terhadap Azmin pada 27 Nov tahun lalu atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 30 Jun bagi mendengar permohonan Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan saman dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadapnya.

Saman itu dikemukakan atas dakwaan beliau menipu dan melanggar kewajipan fidusiari sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Azmin ketika dihubungi berkata, pada hari sama, Hakim Akhtar Tahir akan mendengar permohonan pengundi itu untuk membatalkan beberapa perenggan pernyataan pembelaan Azmin.

Menurut Nizamuddin, perenggan berkenaan berkaitan alasan Azmin meninggalkan PKR.

“Kedua-dua pihak perlu memfailkan afidavit balasan mereka berhubung dua permohonan itu pada 30 April, manakala pendengaran kes pada 30 Jun akan dijalankan secara dalam talian,” kata beliau selepas pengurusan kes yang dibuat secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat hari ini.

Pada 12 Mac lalu, Azmin memfailkan permohonan itu atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah.

Sebaliknya, ia mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada penyalahgunaan proses mahkamah serta bertentangan atau ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan itu dibuat atas alasan tuntutan saman berkenaan bertujuan melanggar hak asasi defendan iaitu kebebasan berpersatuan seperti yang diperuntukkan bawah Perkara 10 Fasal (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Semua 10 pengundi berdaftar tersebut memfailkan saman terhadap Azmin pada 27 Nov tahun lalu atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi “Langkah Sheraton” yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari tahun lalu.

Pernyataan tuntutan mereka menyebut semua plaintif, berusia lingkungan 36 dan 64 tahun, memohon antara lain deklarasi bahawa Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajipan fidusiarinya dan tugas-tugas yang terhutang kepada plaintif, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

Pengundi itu mendakwa dengan memungkiri representasi berkenaan, defendan telah melanggar hak Perlembagaan, terutamanya prinsip demokrasi berparlimen dan demokrasi perwakilan yang membentuk sebahagian struktur asas perlembagaan.

Oleh itu, semua plaintif menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.