
Dalam 10 serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, polis menahan 17 ahli sindiket itu, termasuk empat lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan berumur 24 hingga 47 tahun.
Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, berkata bagi sindiket pertama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Selangor melancarkan tujuh serbuan di lokasi berbeza di sekitar Kajang dan Pandamaran.
Katanya, sejumlah 354 ketulan “heroin base” seberat 134kg dan 101 bungkusan plastik disyaki dadah jenis syabu seberat 104kg bernilai RM15.2 juta dirampas.
“Sindiket yang mula menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak Februari tahun ini menyeludup masuk bekalan dadah ke Malaysia dari selatan Thailand menggunakan jeti haram di Kelantan,” katanya, menurut laporan Bernama.
“Mereka juga menggunakan perkhidmatan penghantaran kontena dan bungkusan melalui jalan laut serta udara bagi menyeludup dadah ke luar negara.”
Beliau berkata, salah seorang suspek didapati positif ketamin dan mempunyai rekod jenayah mengikut Seksyen 170 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Bagi sindiket kedua, Acryl Sani berkata, pihaknya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah ketamin di sekitar Rawang dalam tiga serbuan Selasa lalu.
Polis turut merampas 22.015kg dadah dan 37.15kg cecair disyaki jenis ketamin dianggarkan bernilai RM2.35 juta.
Selain itu, peralatan dan bahan-bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah jenis ketamin turut dirampas.
“Empat daripada lapan suspek yang ditahan dalam sindiket ini didapati positif dadah jenis ketamin manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah,” katanya.
Katanya, polis turut menjalankan sitaan, dengan nilai keseluruhan bagi kedua-dua operasi lebih RM1 juta.
“Ini melibatkan 10 kereta, empat motosikal dan wang tunai berjumlah RM136,110.
“Semua suspek disiasat bawah Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya dan direman satu hingga tujuh hari bermula Rabu,” katanya.
Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, sepanjang Januari hingga April tahun ini, polis menumpaskan 92 sindiket dadah melibatkan 12 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM747 juta.
“Berbanding sepanjang tahun lepas, 305 sindiket dadah ditahan melibatkan rampasan dadah berjumlah 14 tan bernilai RM405 juta,” katanya.