Kelonggaran pulang buat pekerja Malaysia divaksin di Singapura diteliti

Kelonggaran pulang buat pekerja Malaysia divaksin di Singapura diteliti

Kelonggaran itu termasuklah dengan menyediakan pas laluan hijau khas buat mereka yang terlibat.

Izhar berkata, keperluan vaksinasi adalah antara syarat yang dipersetujui kerajaan Malaysia dan Singapura dalam rundingan untuk membuka semula pintu sempadan dan justeru itu, Johor akan mengikutinya. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Kelonggaran untuk membenarkan rakyat Malaysia di Singapura yang telah divaksin pulang ke negara terutama bagi menyambut perayaan Aidilfitri sedang diteliti.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Izhar Ahmad berkata kelonggaran itu termasuklah dengan menyediakan pas laluan hijau khas buat mereka yang terlibat.

“Ya, ini adalah antara perkara yang hendak disusun…pekerja-pekerja yang terlibat dan selamat divaksin mungkin kita akan beri pas laluan hijau khas untuk mereka.

“Perkara ini kita kena duduk berunding dan perhalusi dalam kategori kluster yang patut dan boleh diberi kelonggaran,” kata beliau kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan Program Ziarah Kasih sempena Ihya Ramadhan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) pada Ahad.

Mohd Izhar berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kelonggaran diberi terhadap pekerja Malaysia yang telah divaksin di Singapura untuk pulang ke negara bagi menyambut Aidilfitri.

Menurut beliau, keperluan vaksinasi adalah antara syarat yang dipersetujui kerajaan Malaysia dan Singapura dalam rundingan untuk membuka semula pintu sempadan dan justeru itu, Johor akan mengikutinya.

“Kita diminta agar semua rakyat kita divaksin. Jadi Johor akan mengambil langkah proaktif untuk segerakan proses vaksinasi bagi membolehkan kebenaran persetujuan pembukaan pintu sempadan dengan Singapura tercapai,” katanya.

Beliau juga berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong dijangka mengadakan perbincangan mengenai perkara itu pada awal bulan depan.

Pada program berkenaan, sebanyak 500 bakul makanan diedarkan kepada 500 penerima yang memerlukan merangkumi empat daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Pontian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.