Jangan berlagak ‘Tuhan’ dengan pemeriksaan haid, kata kesatuan guru

Jangan berlagak ‘Tuhan’ dengan pemeriksaan haid, kata kesatuan guru

Kesatuan Guru Sarawak berkata, golongan pendidik di negara ini sepatutnya berperanan sebagai penjaga pelajar.

PETALING JAYA:
Golongan pendidik di negara ini tidak sepatutnya berlagak sebagai ‘Tuhan’ dengan melakukan pemeriksaan mengejut berhubung pusingan haid pelajar, kata Kesatuan Guru Sarawak (STU).

Presidennya Adam Prakash Abdullah memberitahu FMT bahawa guru sebaliknya mesti berperanan sebagai penjaga pelajar kerana ibu bapa meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk menjaga dan mendidik anak-anak mereka.

“Pemeriksaan mengejut haid jelas merupakan kes salah guna kuasa oleh individu terbabit, selain melambangkan keruntuhan moral dalam masyarakat. Tiada alasan munasabah untuk membenarkan tindakan itu,” katanya.

Adam berkata, STU kecewa mendengar kes melibatkan guru yang tidak bertanggungjawab secara fizikal menceroboh dan memalukan pelajar kerana ia menjatuhkan nama baik kerjaya tersebut.

Adam berkata, kes berkenaan membabitkan perbuatan jenayah dan mesti ditangani dengan serius, selain menambah bahawa Kementerian Pendidikan perlu menimbangkan penamatan kontrak guru terbabit.

“Orang begini sakit dan tidak seharusnya berada dalam perkhidmatan. Perbuatan itu tidak boleh diterima, terutama melibatkan guru di sekolah. Pendidikan adalah kerjaya mulia dan mesti dipertahankan setiap masa.”

Beliau menggesa golongan pendidik supaya mempamerkan nilai moral unggul dan berperanan sebagai teladan buat anak-anak.

Semalam FMT melaporkan kisah pelajar di negara ini yang mendedahkan pengalaman buruk yang dihadapi mereka di sekolah awam, termasuk ‘pemeriksaan mengejut haid’, gangguan seksual dan tindakan menjatuhkan maruah secara terbuka.

Pelajar terbabit mendedahkan perbuatan guru yang meraba mereka sebagai suatu bentuk tindakan disiplin.

Sementara itu, pelajar lain bercakap tentang guru agama memegang mereka untuk memeriksa pad haid yang dipakai, selain mempersoal sama ada ia sahih atau sebaliknya.

Presiden Kumpulan Bertindak Ibu bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, “guru bukan Tuhan. Kadang-kadang mereka terlupa dan bertindak keterlaluan. Mereka sebaliknya harus mempamerkan kemahiran kepimpinan dalam mencari penyelesaian kepada masalah tanpa melukakan maruah pelajar.”

Beliau memberitahu FMT bahawa hubungan antara guru dan pelajar diasaskan kepada kepercayaan dan rasa hormat.

Sesetengah guru dilaporkan bertegas untuk mengadakan pemeriksaan mengejut bagi mengesahkan pelajar tidak secara sengaja meninggalkan solat, namun Noor Azimah berkata, ia seharusnya merupakan isu pelajar terbabit dengan Allah.

Mak Chee Kin daripada Kumpulan Bertindak Ibu bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) bertanya sama ada guru terbabit bersedia menerima anak-anak mereka sendiri diperiksa dan diperlakukan begitu di sekolah.

Mak berkata, ia merupakan kes buli atas nama agama dan berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak berkuasa lain campur tangan bagi menghentikan “perbuatan tidak masuk akal” itu, sekali gus mengambil tindakan bagi memastikan ia tidak berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.