
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan juga melanjutkan tempoh kuarantin dari 10 hari kepada 14 hari, kerana wujudnya varian Afrika Selatan virus Covid-19 di negara terbabit.
“Mereka perlu menjalani swab sampel bagi ujian pengesanan jangkitan Covid-19, tiga hari sebelum tarikh berlepas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pengembara yang baru tiba di Malaysia perlu memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera dalam telefon bimbit sebelum tiba di negara ini.
“Mereka akan menjalani swab sampel kedua bagi ujian pengesanan jangkitan Covid-19 pada hari ke 10 semasa dalam tempoh kuarantin.”
Varian Afrika Selatan yang mudah berjangkit atau B.1.351 kali pertama dilaporkan di negara ini pada 14 April.
Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan bersetuju menamatkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di enam kawasan di Tawau, mulai 25 April.
Kawasan itu melibatkan Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Jalan Mesra, Taman Golden Hill dan Taman Sri Bukit.
Beliau berkata, jumlah kes Covid-19 di enam kawasan itu sudah menurun dan pesakit kini mendapatkan rawatan, manakala kontak rapat mereka diasingkan.
“Kerajaan juga melanjutkan tempoh sekatan di dua kawasan (Bandar Sri Indah, Kampung Titingan) di daerah Tawau dan di Sungai Passin, Matu, Sarawak selama dua minggu, bermula 26 April hingga 9 Mei,” katanya.
Katanya, PKPD di kawasan berkenaan dijadualkan berakhir esok, namun masih ada kes yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan di daerah berkenaan.
Dalam pada itu, Ismail memaklumkan polis menahan 269 individu atas kesalahan ingkar perintah kawalan pergerakan, di mana 250 dikompaun, sementara 19 lagi direman, semalam.
“Antara kesalahannya ialah tidak memakai pelitup muka, gagal mendaftar masuk premis dan aktiviti pusat hiburan,” katanya.