Momoh bebas selepas 40 hari dalam tahanan

Momoh bebas selepas 40 hari dalam tahanan

Warga Nigeria itu dibebaskan dari depot Imigresen Semenyih susulan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Simon Adavize Momoh memeluk peguamnya, V Vemal Arasan, di luar depot Imigresen Semenyih sebentar tadi. Bersama mereka adalah isteri Momoh, Low Kar Hui, dan anak-anak.
SEMENYIH:
Warga Nigeria Simon Adavize Momoh, yang ditahan di depot Imigresen Semenyih selama lebih sebulan, kini bebas.

Dia ditahan bulan lalu kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Momoh dibebaskan lebih cepat daripada yang dijangka, dan dilihat menemui isterinya, Low Kar Hui, dan anak-anak mereka di luar depot berkenaan.

Buat masa ini, kata Momoh, dia hanya ingin bersama anak dan isterinya selepas berada dalam tahanan selama 40 hari.

Dia berterima kasih kepada semua yang menyokongnya, dan berdoa buatnya.

“Dia akan mengeluarkan kenyataan dalam masa beberapa hari lagi. Keluarga ini sangat letih,” kata peguam Momoh, V Vemal Arasan, bagi pihak anak guamnya.

Pada perbicaraan habeas corpus hari ini, hakim Ab Karim Ab Rahman memutuskan bahawa penahanan Momoh bercanggah dengan Perlembagaan dan melanggar prosedur.

Oleh itu, beliau memerintahkan pembebasan Momoh daripada tahanan Imigresen secepat mungkin.

Oleh kerana keputusan ini dibuat pada hari ini, iaitu hari Jumaat, ramai menjangkakan Momoh hanya akan dibebaskan pada Isnin, selepas hujung minggu.

Pada perbicaraan hari ini, hakim berkata, tiada sebarang permohonan reman bagi Momoh diterima, dan ini menyebabkan penahanannya bertentangan dengan Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan.

Momoh ditahan di sebuah sekatan jalan raya pada awal pagi 15 Mac kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk. Dia mengaku bersalah di mahkamah pada hari sama dan membayar denda RM12,000.

Pada perbicaraan hari ini, timbalan pendakwa raya memaklumkan mahkamah, ketua pengarah Imigresen telah memerintahkan visa pasangan jangka panjang yang sah milik Momoh dibatalkan ketika dalam tahanan, supaya dia boleh diusir dari negara ini.

Perintah pengusiran terhadap Momoh, yang diemelkan kepada isterinya pada 14 April, mengarahkan Low mengaturkan penerbangan balik buat Momoh ke Nigeria. Menurut perintah tersebut, Momoh dianggap pendatang asing yang disekat.

Vemal memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan pengusiran dan pembatalan visa Momoh, dan kes ini akan didengar pada 4 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.