
Setelah sebulan ditahan dan berdepan pengusiran dari negara ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan dia dibebaskan.
Momoh berkahwin dengan rakyat Malaysia dan memiliki dua anak kecil.
Hakim Ab Karim Ab Rahman memutuskan bahawa penahanan Momoh bercanggah dengan Perlembagaan, dan Jabatan Imigresen telah melanggar prosedur.
Beliau berkata, majistret tidak menerima sebarang permohonan reman bagi Momoh, dan ini menyebabkan penahanannya bertentangan dengan Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara ini memperuntukkan bahawa individu bukan warganegara Malaysia yang ditangkap atau ditahan mengikut undang-undang Imigresen perlu dikemukakan di hadapan majistret dalam tempoh 14 hari, dan tidak boleh terus ditahan tanpa keizinan majistret.
Ketika hakim membaca keputusannya tengahari tadi, isteri Momoh, Low Kar Hui teresak-esak.
Bercakap dengan wartawan kemudian, beliau menzahirkan rasa lega dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang selama ini menyokongnya.
“Saya bersyukur keadilan telah ditegakkan,” kata beliau.
“Tempoh ini amat sukar bagi kami, tetapi saya dan anak-anak menguatkan semangat kami (demi Momoh).”
Momoh, yang telah berkahwin dengan Low selama lapan tahun, ditahan di sebuah sekatan jalan raya di Cheras awal pagi 15 Mac kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.
Dia mengaku bersalah di mahkamah pada hari sama dan membayar denda RM12,000.
Low dimaklumkan suaminya akan dibebaskan pada 5 petang. Bagaimanapun, Momoh ditahan di pusat tahanan Semenyih selama 40 hari, dan hukuman penjara seharinya digunakan sebagai alasan untuk membatalkan visanya.
Terdahulu, sebuah semakan kehakiman telah difailkan terhadap ketua pengarah Imigresen bagi mencabar perintah pengusiran terhadap Momoh dan pembatalan visanya. Kes ini akan didengar pada 4 Mei.
Perintah pengusiran terhadap Momoh, yang diemelkan kepada isterinya pada 14 April, mengarahkan Low mengaturkan penerbangan balik buat Momoh ke Nigeria. Menurut perintah tersebut, Momoh dianggap pendatang asing yang disekat.
Menurut peguam V Vemal Arasan, mahkamah telah memerintahkan Momoh dibebaskan secepat mungkin.
Bercakap mengenai isu reman, beliau berkata, beliau menerima afidavit oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) hari ini, yang mendakwa reman dibuat pada 6 April.
“Tetapi tiada reman sebegitu,” kata beliau.
Pada perbicaraan hari ini, timbalan pendakwa raya (TPR) mendakwa Momoh ditahan mengikut dua undang-undang berasingan: Seksyen 35, dan seterusnya, Seksyen 34 Akta Imigresen.
Seksyen 35 menyatakan, mana-mana individu yang dipercayai boleh diusir dari Malaysia boleh ditangkap tanpa waran oleh mana-mana pegawai Imigresen atau oleh pegawai kanan polis, dan boleh ditahan di mana-mana penjara, balai polis atau depot Imigresen untuk tempoh tidak melebihi 30 hari sementara menunggu keputusan sama ada perintah pengusiran itu perlu dibuat.
TPR kemudian berkata selepas 30 hari, mereka kemudian terus menahannya mengikut Seksyen 34, di mana warga asing yang diperintah keluar dari Malaysia, boleh ditahan selama tempoh yang diperlukan bertujuan untuk membuat persiapan sebelum pengusiran.
Mereka berkata, ketua pengarah Imigresen telah memerintahkan visa pasangan jangka panjangnya yang sah dibatalkan ketika dalam tahanan, supaya dia boleh dihantar pulang.
Hakim kemudian memberitahu TPR, beliau tidak bersetuju dengan tindakan Jabatan Imigresen menahan Momoh mengikut Seksyen 35 dan 34.
“Ini adalah penahanan semasa. Oleh itu, Jabatan Imigresen tidak mematuhi prosedur,” kata beliau.
TPR turut mengakui tidak ada reman yang diserahkan kepada mahkamah selepas 14 hari Momoh ditangkap.
Hakim kemudian menjawab: “Apabila tidak ada reman, maka ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan juga terhadap Seksyen 51 Akta Imigresen.”
Peguam hak asasi manusia Gurdial Singh kemudian memberitahu wartawan Jabatan Imigresen tidak berhak membatalkan pas Momoh, dan menggunakannya sebagai alasan untuk mengusirnya.
“Keseluruhan prosedur ini, dari awal hingga akhir, adalah salah,” kata beliau.
Tambahnya, walaupun tergantung kepada budi bicara ketua pengarah Imigresen untuk membatalkan visa mana-mana pendatang sekiranya mereka dipenjara, ia mestilah atas kesalahan serius yang berkaitan dengan Akta Imigresen.