Kongsi pautan FB ketua eksekutif semarakkan penyebaran produk, aktiviti Perkeso

Kongsi pautan FB ketua eksekutif semarakkan penyebaran produk, aktiviti Perkeso

Bahagian Komunikasi Strategik Perkeso berkata ia tambahan kepada penyebaran maklumat menerusi media dan dan elektronik, berhubung pelbagai insentif, faedah, dan manfaat untuk orang ramai.

PETALING JAYA:
Pemberian markah kepada kakitangan Perkeso yang berkongsi pautan Facebook ketua eksekutifnya adalah untuk mereka membantu menyebarluaskan maklumat mengenai produk dan peranan agensi itu kepada masyarakat.

Bahagian Komunikasi Strategik Perkeso dalam kenyataan berkata, langkah itu diambil sebagai tambahan kepada penyebaran maklumat menerusi media cetak dan elektronik, berhubung pelbagai insentif, faedah, dan manfaat yang ditawarkan pelbagai produk Perkeso untuk orang ramai, terutama ketika wabak Covid-19.

“Perkeso diberikan tanggungjawab oleh kerajaan untuk melaksanakan beberapa insentif bantuan penting kepada orang ramai, terutamanya kepada golongan majikan dan pekerja, bagi membantu mereka menangani kesan yang dibawa oleh pandemik,” katanya.

“Anggota Perkeso yang merupakan tunggak kepada organisasi ini diberikan mandat untuk menggalas bersama tanggungjawab tersebut dengan berkongsi muatnaik oleh pertubuhan ini di media sosial melalui akaun rasmi Ketua Eksekutif.”

Terdahulu dilaporkan penilaian prestasi kakitangan Perkeso mulai 1 Mac mengambil kira jumlah pautan yang dikongsi mereka dari akaun rasmi Facebook Ketua Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed, memperuntukkan markah khusus berdasarkan jumlah perkongsian pautan.

Maklumat itu terkandung dalam memo yang dihantar Azman kepada seluruh kakitangan Perkeso dan diperolehi oleh FMT.

Memo itu menyatakan pemberian markah secara berkala kepada kakitangannya berdasarkan jumlah perkongsian dalam setahun.

Lima markah diberikan kepada kakitangan Perkeso yang berkongsi maklumat dari akaun rasmi Facebook Azman sebanyak melebihi 50 kali dalam setahun.

Berkongsi satu hingga lima kali setahun sekadar diberi 1 markah.

Mengenai hak milik akaun media sosial ketua eksekutif Perkeso, Bahagian Komunikasi Strategik berkata ia dimiliki dan diselia sepenuhnya oleh pertubuhan itu.

“Kandungan akaun tersebut hanyalah maklumat, kegiatan, dan aktiviti rasmi yang dilaksanakan oleh Perkeso,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.