Kelindan maut tercampak dari treler

Kelindan maut tercampak dari treler

Kejadian berlaku ketika treler dinaiki mangsa melanggar belakang sebuah treler lain yang dalam perjalanan dari Klang ke Pulau Pinang.

Kelindan treler maut tercampak dari kenderaan selepas nahas membabitkan dua treler di Lebuhraya PLUS dekat Tapah awal pagi tadi. (Gambar Polis)
TAPAH:
Seorang kelindan treler maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam nahas membabitkan dua treler di KM 354, Lebuhraya PLUS arah utara di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Keria Salleh, 48, berasal dari Jitra, Kedah maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Tapah Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku jam 3.20 pagi ketika treler tanpa muatan dinaiki mangsa melanggar belakang sebuah treler lain yang dalam perjalanan dari Klang ke Pulau Pinang.

Katanya, mangsa cedera parah akibat kejadian itu.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas ambulans manakala rakannya yang juga pemandu treler cedera di kaki kanan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan pemandu treler berusia 54 tahun itu pula dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut,” katanya..

Katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.