RM2 juta diterima Ku Nan memang sumbangan politik, kata peguam

RM2 juta diterima Ku Nan memang sumbangan politik, kata peguam

Mahkamah Rayuan diberitahu, saksi menyedari wang itu adalah bagi membiayai Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016.

Tengku Adnan Mansor (kanan) merayu terhadap sabitan dan hukuman atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan. (Bernama pic)
PUTRAJAYA:
Cek RM2 juta yang diberikan seorang ahli perniagaan kepada Tengku Adnan Mansor adalah sumbangan politik dan bukan untuk manfaat peribadinya, peguam bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu memberitahu Mahkamah Rayuan.

Peguam Tan Hock Chuan berkata, keterangan yang dikemukakan saksi pendakwaan termasuk ahli perniagaan Chai Kin Kong, menunjukkan RM2 juta itu adalah bagi kegunaan dua Pilihan Raya Kecil (PRK), iaitu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016.

Calon Umno, Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar) dan Budiman Zohdi (Sungai Besar), memenangi kedua-dua kerusi Parlimen itu.

“Chai memberi keterangan bahawa beliau memberikan anak guam saya wang untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, malah itu bukan kali pertama beliau membuat sumbangan politik,” kata Tan.

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, merayu terhadap sabitannya bagi tuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dia didapati bersalah menerima RM2 juta daripada Chai, yang juga pengarah Aset Kayamas, walaupun mengetahui syarikat ahli perniagaan itu mempunyai urusan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan yang ketika itu bawah jagaannya.

Tengku Adnan memfailkan rayuan pada 21 Dis tahun lalu selepas Mahkamah Tinggi memerintahkannya dipenjara 12 bulan dan didenda RM2 juta.

Tan berkata, resit dikeluarkan oleh Umno kepada Chai, beberapa hari selepas ahli perniagaan itu mengeluarkan cek berkenaan.

“Ini menyokong hakikat bahawa Chai membuat sumbangan untuk pilihan raya kecil berkenaan,” kata beliau.

Katanya, Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mengendalikan perbicaraan, terkhilaf apabila memutuskan resit itu hanya diserahkan kepada Chai pada November 2018, selepas pertukaran kerajaan.

“Tiada keterangan menunjukkan perkara itu,” katanya.

Menurutnya, hakim Mahkamah Tinggi itu juga silap apabila menyifatkan resit itu kelihatan “bersih” seperti baru dikeluarkan, bukannya seolah-olah dikeluarkan pada 14 Jun 2016.

Tiada sesiapa tahu sama ada RM2 juta memang digunakan untuk PRK, kata pendakwa

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa berkata, pendakwaan berjaya membuktikan elemen rasuah tanpa keraguan munasabah terhadap Tengku Adnan.

Menurutnya, Chai dan saksi, Hasbi Jaafar, dimaklumkan oleh Tengku Adnan bahawa RM2 juta itu akan dibelanjakan untuk PRK Kuala Kangsar Sungai Besar, namun mereka secara peribadi tidak tahu bagaimana wang itu dibelanjakan.

Susulan itu, Hakim Suraya Othman yang mengetuai panel hakim menyoal kenapa pendakwaan tidak mencabar keterangan Chai.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshuhaida Zainal Azahar berkata, pendirian pendakwaan adalah bahawa resit Umno itu telah direka dan bertujuan membantu kes pembelaan.

Mahkamah menangguhkan keputusannya pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.