
Sekumpulan pelajar dan bekas pelajar – lelaki dan perempuan pelbagai bangsa – menghubungi FMT untuk berkongsi pengalaman peribadi mereka.
Aisyah, seorang pelajar sekolah di Sarawak berkata, sekolahnya mewajibkan semua pelajar Islam membaca Al-Quran setiap pagi sebelum kelas pada bulan Ramadan.
Dua tahun lalu, Aisyah berkata, dia tidak boleh solat dan duduk di belakang surau kerana sedang datang bulan. Namun, ustazah tidak mempercayainya dan melakukan pemeriksaan di tandas.
“Dia meraba di celah paha saya untuk merasa jika saya memakai tuala wanita. Saya sangat terkejut, tetapi terlalu takut untuk bersuara.
“Ada juga pemeriksaan pada hari lain, tapi saya perlu tanggalkan seluar dalam dan tunjukkan di hadapan semua orang untuk membuktikan saya sedang datang bulan,” kata beliau kepada FMT.
Florence, yang tamat sekolah awal tahun ini, berkata dia sering dimalukan hanya kerana menjadi satu-satunya pelajar bukan Islam dalam kumpulannya sepanjang lima tahun belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Pahang.
“Pada satu malam, terdapat kes histeria di asrama, dan pelajar senior memaksa saya memakai tudung, sarung lengan, dan stokin, supaya saya tidak ‘diganggu’,” tambahnya.
Seorang guru sejarah juga sering memaksanya memakai tudung, malah rakan sekelasnya disoal kerana tidak mendorongnya memeluk Islam, katanya.
Pada 2018, David yang ketika itu di Tingkatan Tiga dicabul secara fizikal oleh guru disiplin lelaki kerana lupa lirik lagu sekolah.
“Dia meletakkan telinganya dekat dengan mulut saya untuk memeriksa. Bila dia mengetahui saya hanya menggerakkan bibir, dia meraba punggung saya dan berbisik ke telinga: ‘Mengapa kamu tidak menyanyi?’” kata David, yang masih ingat senyuman guru itu ketika melakukannya.
Bekas pelajar sebuah sekolah di Kuala Lumpur itu “lega” sebaik guru itu melepaskannya, tetapi mengakui tidak menyedari ia adalah perbuatan yang tidak wajar pada masa itu.
Seorang ibu yang menulis kepada FMT berkata, kejadian seperti itu masih berlaku sehingga hari ini, kerana anak perempuan dan lelakinya kini mengalami masalah serupa di sekolah awam mereka di Lembah Klang.
Seorang ustazah yang sering menyasarkan anak perempuannya di Tingkatan Dua bertanya mengapa dia tidak berjemaah dengan pelajar lain. Anak perempuannya sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk tidak solat berjemaah kerana berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 di sekolah.
“Ada sekali, ustazah itu cuba merakam jawapan anak saya kenapa dia tidak mahu berjemaah menggunakan telefon pintar di tangannya, tapi bila dia sedar perbuatannya disedari, dia terus menyimpan telefonnya. Anak perempuan saya tidak pernah bersikap kurang ajar dengan ustazah itu.
“Akhirnya, ustazah itu memberi amaran jika dia tidak solat, dia akan dihantar berjumpa kaunselor sekolah. Saya terpaksa masuk campur dan menghantar mesej Whatsapp kepada guru tersebut,” kata ibu itu, sambil menambah guru agama itu tidak lagi mengganggu anak perempuannya.
Ibu itu menambah, sekolah rendah anak perempuannya juga melakukan “pemeriksaan datang bulan” untuk memeriksa sama ada pelajar berpura-pura datang haid untuk mengelak dari bersolat.
Ini membuat anak perempuannya takut setiap kali mahu menukar tuala wanita di sekolah, kerana “bimbang pemeriksaan dibuat dan dia tidak ada bukti untuk ditunjukkan”, tambah beliau.
Beliau juga berkata, anak lelakinya “selalu dicabar oleh rakan sebayanya untuk membuktikan ‘keislamannya’ dengan membaca ayat-ayat Al-Quran secara mengejut” kerana dia tidak kelihatan seperti orang Melayu “tipikal”.
Priyanka, seorang bekas pelajar sekolah kebangsaan di Selangor berkata, sewaktu dia di Tingkatan Lima, dia pernah tidak mengikuti kelas pendidikan jasmani dan kesihatan (PJK) kerana merasa tidak sihat akibat datang bulan.
Dia dipanggil bersama beberapa pelajar lain ke bilik peralatan sukan untuk diperiksa secara mengejut sama ada benar dia sedang datang bulan, kerana gurunya percaya mereka berbohong untuk sengaja ponteng sesi PJK
“Saya melihat dia menyentuh dan meraba tuala wanita rakan-rakan saya dari luar pakaian seragam mereka, tanpa persetujuan mereka.
“Saya tidak bekerjasama dan menyuruhnya menulis aduan di buku laporan kelas sebagai ganti. Akibatnya, saya diberi 15 markah demerit kerana tidak patuh,” kata Priyanka.
Sementara itu, seorang lagi bekas pelajar, Uma, pernah dituduh cuba menggoda seorang seorang guru matematik Tahun Enam kerana meregangkan kakinya.
“Saya memakai kasut lengkap dengan stokin paras lutut,” kata Uma, yang kini berusia 20-an.
Guru itu turut menuduhnya mencuri beg bimbit dan meminta guru besar melucutkan jawatannya sebagai pengawas.
“Beberapa orang guru memihak kepadanya, dengan berkata, saya mampu melakukan perkara-perkara seperti itu kerana rakan saya kebanyakannya lelaki.”
Catatan: Individu-individu ini bersetuju berkongsi pengalaman mereka dengan syarat identiti mereka dirahsiakan. Semua nama telah diubah bagi melindungi identiti mereka.