MOTAC rangka strategi, laksana pelan pemulihan bersama persatuan pelancongan

MOTAC rangka strategi, laksana pelan pemulihan bersama persatuan pelancongan

Kerjasama itu juga demi menjamin kelangsungan industri pelancongan dalam menghadapi ketidaktentuan akibat wabak Covid-19, kata Nancy Shukri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata, kerjasama itu adalah pelan jangka pendek di bawah DPN 2020-2030.
KOTA KINABALU:
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan persatuan pelancongan bagi merangka strategi serta melaksanakan pelan pemulihan industri berkenaan.

Kata beliau, kerjasama itu juga demi menjamin kelangsungan industri pelancongan dalam menghadapi ketidaktentuan akibat wabak Covid-19.

Beliau berkata, kerjasama itu adalah pelan jangka pendek bawah Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 menerusi beberapa strategi yang dilaksanakan.

“Antara strategi dilaksanakan adalah memulihkan keyakinan orang awam untuk melancong semula sambil mengadaptasi norma baharu seperti keselamatan, kebersihan dan kesihatan serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Selain itu, memberi penekanan dalam usaha merancakkan semula pelancongan domestik dengan menawarkan pakej pelancongan kreatif dan menarik menerusi platform digital.

“Juga mempromosi keunikan destinasi pelancongan desa atau ‘hidden gems’ memandangkan pelancong kini gemarkan destinasi yang selamat, kurang sesak dan nyaman,” kata beliau.

Menurutnya, turut ditawarkan insentif dan promosi dalam bentuk baucar rebat, e-baucar, ‘cashback’ melalui e-dompet dan diskaun.

Beliau berkata demikian sempena Sesi Jerayawara DPN 2020-2030 yang turut dihadiri timbalannya, Guan Dee Koh Hoi serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Jafry Ariffin.

Nancy berkata, walaupun sektor pelancongan antara yang terkesan teruk dengan wabak Covid-19 dan kadar pemulihannya juga agak perlahan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama seluruh jabatan serta penggiat industri berusaha keras menjana pelbagai idea dan perancangan bagi membantu pemulihannya.

“Usaha yang kita lakukan ini juga bagi memastikan Malaysia sentiasa menjadi destinasi utama pilihan pelancong dalam dan luar negara apabila sempadan dibuka kelak,” kata beliau.

Sementara itu, katanya, siri jerayawara di Sabah kali ini agak berbeza dan istimewa berbanding negeri lain sebelum ini kerana dua elemen bersekali diadakan, iaitu DPN dan Kempen ‘Meet in Malaysia@Sabah’ yang dilaksanakan agensi bawah MOTAC, Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB), bagi merangsang semula segmen acara perniagaan seterusnya membantu industri pulih lebih cepat.

“Sesi libat urus bersama negeri-negeri adalah agenda penting MOTAC demi memastikan semua pihak berkepentingan sekata, mempunyai visi agenda transformasi yang sama dan seterusnya menerapkan strategi DPN ke dalam rancangan tindakan masing-masing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.