Warga Nigeria berdepan tindakan pengusiran dipaksa cap jari dokumen, dakwa peguam

Warga Nigeria berdepan tindakan pengusiran dipaksa cap jari dokumen, dakwa peguam

Simon Adavize Momoh, didakwa dipaksa untuk menurunkan cap jari ke atas dokumen yang "kandungannya tidak diketahui" ketika dalam tahanan, kata peguamnya.

Low Kar Hui menunjukkan gambar Simon Adavize Momoh diluar Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM:
Warga Nigeria, Simon Adavize Momoh, didakwa dipaksa untuk menurunkan cap jari ke atas dokumen yang “kandungannya tidak diketahui” ketika dalam tahanan.

Menurut peguamnya, V Vemal Arasan, Momoh hanya mengetahui dokumen tersebut sebagai akuan pembatalan visa isterinya, dan dihantar pulang ketika mereka bertemu buat kali pertama pada Jumaat lalu.

“Dia diberitahu bahawa dokumen-dokumen itu untuk pembebasannya,” kata Vemal selepas perbicaraan habeas corpus di Mahkamah Tinggi.

“Selama ini, Simon ingat dia akan dibebaskan.”

Vemal berkata, berikutan tuntutan Momoh, yang masih ditahan di Depot Imigresen Semenyih, beliau menyiapkan afidavit baru dan memfailkannya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.

Dalam perbicaraan pagi ini, timbalan pendakwa raya meminta lebih banyak masa untuk memberi respons kepada afidavit tersebut.

Hakim Ab Karim Ab Rahman bersetuju dengan permintaan itu dan menetapkan perbicaraan berikutnya pada Jumaat petang, selain menasihati pihak berkuasa imigresen untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengusiran Momoh, sementara menunggu penangguhan itu.

Turut hadir dalam perbicaraan itu adalah peguam CR Selva, yang memerhatikan bagi pihak Majlis Peguam dan Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG) serta NGO Family Frontiers.

Wakil daripada Suruhanjaya Tinggi Nigeria, yang menghadiri perbicaraan pertama pada 9 April, tidak hadir pada hari ini.

Vemal juga mendakwa tiada perintah reman yang dikeluarkan dalam tempoh dua minggu pertama Momoh ditahan sebelum ini kerana memandu dalam keadaan mabuk pada 15 Mac.

Dia berkata ini bercanggah dengan Artikel 5 (4) Perlembagaan Persekutuan, yang juga terkait dalam Seksyen 51 Akta Imigresen.

Sementara itu, isteri Momoh, Low Kar Hui, telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengenai perintah pengusiran itu.

“Oleh kerana Simon tidak diberi kesempatan (untuk membuat rayuan atas perintah itu) dan ada tempoh tujuh hari, isterinya telah membuat rayuan kepada menteri dalam negeri secara peribadi, mencari jalan untuk membebaskan segera Simon,” kata Vemal.

Semakan kehakiman juga telah difailkan kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk mencabar pengusiran Momoh dan visa yang dibatalkan yang akan berlangsung pada 4 Mei.

Perintah pengusiran Momoh, yang diemelkan kepada isterinya pada 14 April, meminta Low bersedia mengaturkan penerbangannya kembali ke Nigeria. Menurut perintah itu, Momoh dianggap pendatang asing tanpa izin.

Vemal memfailkan permohonan habeas corpus pada 1 April dengan menamakan Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai responden.

Momoh yang mengahwini Low sejak lapan tahun lepas dan mempunyai visa sah ditahan di sekatan jalan raya di Cheras pada awal pagi 15 Mac kerana disyaki memandu bawah pengaruh alkohol.

Beliau mengaku salah di mahkamah pada hari sama dan membayar denda berjumlah RM12,0000. Low diberitahu beliau akan dibebaskan pada 5 petang.

Beliau bagaimanapun ditahan di pusat tahanan Semenyih sejak itu.

Pihak berkuasa sebelum ini menolak permohonan Vemal dan Low untuk bertemu Momoh atas alasan sekatan wabak Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.