Tiada sesiapa datang serah notis, kata anak wanita dituduh bunuh amah

Tiada sesiapa datang serah notis, kata anak wanita dituduh bunuh amah

R Jayavartiny mempertikaikan dakwaan bahawa polis tidak dapat menyerahkan notis rayuan berhubung kes terhadap ibunya.

MA Ambika dibebaskan daripada tuduhan membunuh pembantu rumahnya Adelina Lisao di Bukit Mertajam pada 2018. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Anak perempuan kepada warga emas yang dituduh membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia menyangkal dakwaan polis tidak dapat mengesan alamat mereka untuk menyerahkan notis mahkamah berkaitan rayuan terhadap pembebasan ibunya.

R Jayavartiny sebaliknya memberitahu Mahkamah Persekutuan hari ini, tiada sesiapa pun ke rumah mereka di Bukit Mertajam.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah memaklumkan bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) melalui polis telah berusaha menyerahkan notis rayuan itu sebanyak empat kali kepada ibunya, MA Ambika.

Ambika dituduh membunuh Adelina Lisao, 28, di rumahnya di Medan Kota Permai 2, Bukit Mertajam, pada 10 Feb 2018.

Mahkamah Tinggi di George Town kemudian membebaskan Ambika, walaupun pihak pendakwaan hanya memohon untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Susulan itu, hari ini Nahra mendakwa keluarga berkenaan “enggan membuka pintu” menyebabkan notis itu tidak dapat diserahkan secara peribadi kepada Ambika.

Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong kemudian menyoal mengapa sukar menyampaikan notis itu sedangkan Jayavartiny menyatakan mereka berada di rumah.

Ini mendorong Jayavartiny untuk membalas: “Apa yang dikatakan oleh polis tidak benar. Ibu saya tidak dapat berjalan sekarang kerana kakinya luka.”

Jayavartiny berkata, dia hadir di mahkamah bagi pihak ibunya.

Hakim Zaleha Yusof, yang bersidang bersama Ong dan Hasnah Mohammed Hashim, kemudian menyoal bagaimana Jayavartiny tahu mengenai kes ibunya hari ini.

Wanita itu menjawab dia diarahkan “datang semula pada 21 April (hari ini)” oleh pegawai mahkamah selepas terlewat menghadiri prosiding pada 17 Mac.

Berikutan itu, Ong berkata, mahkamah akan mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ambika pada 5 Julai, setelah Jayavartiny memaklumkan sudah melantik peguam.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi George Town untuk membebaskan Ambika.

Mahkamah Rayuan dalam keputusannya berkata, pendakwaan telah menerima representasi daripada pasukan peguam Ambika, dan tidak akan meneruskan prosiding terhadapnya.

“Keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap responden (Ambika) dibuat dua hari sebelum hakim Mahkamah Tinggi memutuskan untuk membebaskannya pada 18 April 2019,” kata hakim Mahkamah Rayuan Nordin Hassan.

“Atas alasan ini saja, tindakan hakim perbicaraan menggunakan budi bicaranya untuk mengarahkan responden dibebaskan pada 18 April 2019 adalah wajar.

“Tiada sebab sahih untuk pendakwaan memohon DNAA terhadap kes itu sedangkan telah diputuskan bahawa tuduhan terhadap responden akan digugurkan.”

Kumpulan hak asasi manusia Tenaganita sebelum ini mempersoalkan tindakan AGC menggugurkan tuduhan bunuh itu.

Kira-kira 30,000 orang menandatangani petisyen menuntut penjelasan daripada pihak pendakwaan tentang pembebasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.