Palsu borang rentas negeri, 2 wanita ditahan

Palsu borang rentas negeri, 2 wanita ditahan

Dua wanita terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang dan salah seorang daripadanya didapati positif dadah jenis ganja.

Siasatan awal pihak polis mendapati cap dan tandatangan ketua polis balai yang meluluskan permit terbabit dipercayai dibuat secara ‘scan’ selain tulisan turut dipinda.
PETALING JAYA:
Dua wanita, yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang, ditahan selepas didapati memalsukan borang rentas negeri, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, anggota yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Bentong itu menahan kenderaan dinaiki kedua wanita terbabit pada 6.45 petang untuk pemeriksaan.

“Ketika pemeriksaan dilakukan terhadap dokumen perjalanan rentas negeri, didapati borang berkenaan agak meragukan dan disyaki dipalsukan oleh mereka,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Zaiham berkata, siasatan awal mendapati cap dan tandatangan ketua polis balai yang meluluskan permit terbabit dipercayai dibuat secara ‘scan’ selain tulisan turut dipinda.

“Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik seorang daripada mereka mendapati ada salinan borang kosong rentas negeri siap ditandatangani dan dipercayai turut dipalsukan.

Katanya, seorang daripadanya positif dadah jenis ganja selepas ujian saringan air kencing dibuat.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan surat pemalsuan sebagai tulen.

“Bagi suspek yang didapati positif dadah, dia akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata Zaiham.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai yang mahu membuat perjalanan rentas negeri supaya tidak mengambil tindakan dengan mengemukakan borang yang diubah suai dengan niat memalsukan dokumen berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.