NIA jadi teras pembaharuan dasar pelaburan negara, kata Azmin

NIA jadi teras pembaharuan dasar pelaburan negara, kata Azmin

Mohamed Azmin Ali berkata NIA juga menjadi teras bagi merancakkan semula iklim pelaburan Malaysia, menarik pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara selain mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, khususnya pada tempoh pasca-Covid-19.

Mohamed Azmin Ali berkata aspirasi ini akan membolehkan Malaysia muncul sebagai hab pelaburan serantau.
PETALING JAYA:
Jemaah Menteri telah meluluskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang berperanan sebagai kerangka pertumbuhan masa depan serta menggariskan asas bagi pembaharuan dasar pelaburan negara ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata NIA juga menjadi teras bagi merancakkan semula iklim pelaburan Malaysia, menarik pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara selain mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, khususnya pada tempoh pasca-Covid-19.

“Sejajar usaha melangkah ke depan, Malaysia perlu mengguna pakai satu pendekatan komprehensif untuk mempergiat semula ekosistem pelaburan serta memberi tindak balas sewajarnya terhadap kemunculan perkembangan trend mega selain keperluan pelabur yang sentiasa berubah.

“Malaysia perlu berani bangkit untuk menghadapi cabaran ini dengan sentiasa meningkatkan nilai unik negara yang merentasi pelbagai elemen seperti insentif, kemudahan, tenaga kerja, infrastruktur selain mekanisme perundangan, pengawalseliaan, prosedur dan institusi,” katanya dipetik Bernama, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, sejajar dengan penekanan itu, teras NIA menumpukan aspek kejelasan serta keteguhan.

Kesemua aspirasi ini dipaparkan dalam semua dokumen dasar kebangsaan serta inisiatif berkaitan pelaburan, termasuk Pelan Induk Perindustrian Keempat dan Rancangan Malaysia Ke-12.

Sehubungan itu, katanya, NIA berteraskan lima parameter sebagai asas mempertingkat daya saing dan memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Kesemua aspirasi ini membolehkan Malaysia muncul sebagai hab pelaburan serantau yang akan meningkatkan kepelbagaian ekonomi menerusi pertumbuhan produk dan perkhidmatan serba canggih dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dan inovasi yang tinggi.

“Ini akan turut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi yang mewujudkan pendapatan lebih baik untuk rakyat, mengembangkan serta menyepadukan jaringan domestik ke dalam rantaian bekalan serantau dan global dengan memantapkan daya tahan.

“Aspek lain termasuk membangunkan kluster baharu dan sedia ada dengan menumpukan sektor produktiviti tinggi, termasuk produk dan perkhidmatan tempatan sambil meningkatkan keterangkuman untuk menyumbang ke arah agenda pembangunan sosioekonomi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.