Mahkamah batalkan saman keluarga model Belanda terhadap polis

Mahkamah batalkan saman keluarga model Belanda terhadap polis

Keputusan mahkamah hari ini atas sebab teknikal, namun keluarga mendiang Ivana Smit dibenarkan memfailkan saman baharu pada masa depan.

Ivana Smit ditemui mati di aras enam sebuah kondominium pada Disember 2017. (Gambar Instagram)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman difailkan keluarga model Belanda, Ivana Smit terhadap kerajaan dan polis yang didakwa melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan kematiannya.

Bagaimanapun, Hakim Akhtar Tahir membenarkan keluarga itu memfailkan semula tuntutan baharu pada masa depan.

Beliau membatalkan saman itu hari ni atas sebab teknikal, susulan pernyataan tuntutan keluarga itu tidak mematuhi Kaedah-kaedah Mahkamah.

Ibu Smit, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen memfailkan saman itu tahun lalu dengan menamakan kerajaan, polis dan pegawai penyiasat Faizal Abdullah sebagai defendan, yang didakwa gagal memastikan punca kematian anaknya itu.

Model berusia 18 tahun itu ditemui mati di aras enam CapSquare Residence di sini pada 7 Dis 2017, selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan dari Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Verstappen berkata, beliau dimaklumkan mengenai kematian anaknya pada atau sekitar petang 7 Dis 2017, dan terbang ke Kuala Lumpur dari Belanda untuk mengesahkan serta menyiasatnya.

Sebaik tiba di Malaysia, Verstappen berkata defendan memintanya mengenal pasti mangsa di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, beliau turut dimaklumkan defendan dan seseorang bernama Sarjan Haliza (pegawai penyiasat pertama) bahawa mayat bogel anaknya telah ditemui di balkoni kondominium di tingkat enam, akibat membunuh diri.

Tambahnya, defendan membuat laporan kematian mengejut (SDR) pada tarikh sama dan terus menutup kes itu sebagai diakibatkan oleh sebab semulajadi atau bunuh diri.

Verstappen berkata beliau tidak dapat menerima perkara itu kerana menganggapnya “sukar dipercayai, mustahil, dan luar biasa, selain terkejut dan tergamam bahawa defendan sekadar membuat SDR”.

Beliau berkata, defendan jelas melanggar SOP dan amalan terbaik dalam siasatan polis.

Inkues diadakan pada 2018 untuk memastikan punca kematian Smit, dan Mahkamah Koroner kemudian memutuskan adalah akibat nahas.

Bagaimanapun, dalam semakan keputusan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memutuskan kematian Smit diakibatkan ‘individu dikenali atau tidak dikenali.’

Mahkamah turut memerintahkan pejabat peguam negara untuk mengarahkan polis supaya terus menyiasat kematian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.