Dasar pelaburan baharu dibentang ke Jemaah Menteri esok

Dasar pelaburan baharu dibentang ke Jemaah Menteri esok

Kata Azmin, dasar yang akan diperkenalkan itu memberi tumpuan kepada bidang inovasi, teknologi dan digital.

Azmin Ali berkata dasar pelaburan negara yang baharu itu adalah sejajar dengan garis panduan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
KUALA LUMPUR:
Kertas Kabinet mengenai dasar pelaburan negara yang baharu untuk menarik lebih ramai pelabur berkualiti ke negara ini akan dibentang kepada Jemaah Menteri pada Rabu ini, kata Menteri Kanan (Ekonomi) Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata dasar baharu itu dirangka dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan dijangka dilaksanakan serta-merta.

“Dasar yang akan diperkenalkan ini memberi tumpuan kepada bidang inovasi, teknologi dan digital. Malah dalam lawatan kerja saya ke Korea Selatan dan Jepun baru-baru ini, mereka turut menyambut baik pelaksanaan dasar pelaburan baharu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas solat tarawih bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves dekat Gombak, semalam.

Azmin berkata dasar baharu itu juga sejajar dengan garis panduan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Mengenai pelaburan baharu syarikat gergasi teknologi global Microsoft di negara ini, beliau berkata ia adalah bukti bahawa pelabur asing masih yakin untuk melabur di Malaysia dan menjadi hab utama pelaburan mereka.

“Justeru itu, negara juga perlu bersedia untuk menyediakan dan mengetengahkan tenaga kerja dan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri ini,” katanya.

Semalam, negara menyaksikan kerjasama dengan syarikat itu dengan pelaburan asing berjumlah AS$1 bilion (RM4 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang bagi penubuhan pusat data serantau yang pertama di Malaysia.

Pelaburan itu dijangka berupaya menjana pendapatan baharu kira-kira AS$4.6 bilion (RM19 bilion) selain membantu mewujudkan 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4,000 pekerjaan berkaitan teknologi maklumat untuk rakyat tempatan.

Ditanya mengenai tindakan Ahli Parlimen pembangkang bercadang menghantar surat kedua kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah esok, bagi memohon perkenan baginda menerima petisyen rayuan menamatkan darurat, Azmin berkata pembangkang sepatutnya memanfaatkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang turut dianggotai pembangkang, sebagai saluran untuk berbuat demikian.

“Sepatutnya mereka (pembangkang) gunakan jawatankuasa khas ini yang tidak dipengaruhi oleh pihak eksekutif dan jawatankuasa ini beri maklum balas terus kepada Agong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.