
Penolong pengarah jabatan itu, Shahrum Radzlee Mohd Samlih, 38, dituduh menerima rasuah sebanyak RM22,500, manakala Athanasius John Malis, 58, penolong pegawai perancang bandar berdepan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM60,000.
Shahrum dan Athanasius masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut kertas pertuduhan, Shahrum didakwa menerima wang tunai RM22,500 daripada Athanasius sebagai upah menandatangani surat pengesahan penukaran status tanah itu tanpa mendapat kebenaran Lembaga Pusat Perancang Bandar dan Desa (LPPBD) serta kelulusan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam sebuah kereta di lot parkir Medan Selera Grace Point di Sembulan antara 3.15 petang hingga 3.45 petang, 20 Nov 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Sementara itu, bagi pertuduhan pertama, Athanasius didakwa meminta RM15,000 sebagai pendahuluan daripada RM60,000 daripada Muhammad Hasri Lim Abdullah sebagai dorongan untuk menukar status tanah lot itu tanpa kebenaran LPPBD dan kelulusan DBKK.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 9.50 pagi, 5 Sep 2019, di Kompleks Karamunsing, Jalan Tunku Abdul Rahman, mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Athanasius didakwa menerima RM15,000 dan RM45,000 daripada Hasri bagi tujuan sama pada 8.30 pagi, 12 Sept 2019, di lot parkir Wisma Tun Fuad Stephen, Jalan Karamunsing, dan 11.25 pagi, 20 Sept 2019, di lot parkir Medan Selera D’Riverside Sadong Jaya, di sini.
Dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Hakim membenarkan Shahrum diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 27 Mei ini, manakala Athanasius dibenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan kesnya akan disebut semula 24 Mei.
Pendakwaan dijalankan Pegawai SPRM, Clementine Severinus, manakala Athanasius diwakili peguam PJ Pereira dan Shahrum diwakili peguam Nabila Norsahar.