Lelaki Malaysia ditahan bersama 40kg dadah bernilai lebih RM7 juta di Singapura

Lelaki Malaysia ditahan bersama 40kg dadah bernilai lebih RM7 juta di Singapura

Kuantiti kanabis dan heroin yang ditemui adalah jumlah terbesar direkodkan sejak lebih dua dekad lalu.

Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan cukup untuk digunakan 12,000 penagih selama seminggu.
PETALING JAYA:
Seorang rakyat Malaysia berusia 22 tahun ditahan di Singapura Jumaat lalu dengan 40kg dadah bernilai lebih SGD2.3 juta (RM7.1 juta).

Kuantiti kanabis dan heroin yang dirampas daripada lelaki berusia 22 tahun itu dilaporkan yang terbesar sejak 1996 dan 2001.

Malah, jumlah dadah yang dirampas daripadanya dianggarkan cukup untuk digunakan 12,000 penagih selama seminggu, lapor The Straits Times.

Kebanyakan dadah itu ditemui di rumah suspek di Choa Chu Kang Avenue 4, Jumaat lalu.

Pemuda itu ditahan di aras bawah blok kediamannya di sekitar Choa Chu Kang Avenue 4 bersama empat bungkusan ganja seberat 3,915g.

Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura kemudian menggeledah kediamannya di kawasan sama sebelum menemui lebih banyak lagi dadah dalam beg pakaian dan beg galas.

Lapan bungkusan kemudian berisi kira-kira 3,782g heroin, dua bungkusan berisi kira-kira 2,033g “ice”, dan 110 tablet ekstasi dirampas dari bilik tidurnya, menurut laman web CNB.

Turut dirampas, 27 bungkusan mengandungi kira-kira 12,766g heroin dan 20 bungkusan ganja seberat kira-kira 19,772g yang dijumpai di bilik stor.

Hasil rampasan ditunjukkan dalam sidang media itu termasuk pil ekstasi berwarna merah jambu dan berbentuk seperti kartun Jepun popular, Hello Kitty.

Menurut Pengarah Bahagian Risikan CNB Aaron Tang, dadah yang dirampas dalam operasi itu cukup untuk kegunaan 7,880 pengguna heroin, 1,160 pengguna “ice” dan 3,380 pengguna ganja selama seminggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.