
Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 72,324 PATI mendaftar bawah Program Rekalibrasi Pulang, untuk kembali ke negara asal manakala 73,506 PATI mendaftar untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
“Kerajaan juga mengutip kompaun dan bayaran pengeluaran pas khas bernilai RM35.1 juta daripada PATI yang ingin kembali ke negara asal masing-masing dan terus bekerja di Malaysia.
“Kita bukan mahu mengusir atau tidak membenarkan mereka menetap di Malaysia namun kita mahu mereka bekerja di sini dengan dokumen sah,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata semua warga asing termasuk PATI diminta tampil memberi kerjasama bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan matlamat negara mencapai tahap imuniti kelompok apabila lebih 70% daripada populasi rakyat Malaysia mendaftar sebagai penerima vaksin.
Justeru, Hamzah berkata Jabatan Imigresen perlu melakukan kerja paling utama bagi menentukan lebih 70% populasi penduduk di Malaysia termasuk warga asing yang memiliki dokumen sah mendaftar sebagai penerima vaksin.