Jual, miliki cecair vape bernikotin, peniaga didenda RM4,000

Jual, miliki cecair vape bernikotin, peniaga didenda RM4,000

Mahkamah turut memerintahkan Saiful Hairuddin Abdul Salam dipenjara dua bulan bagi setiap tuduhan jika gagal membayar dendanya.

Peniaga terbabit mengaku bersalah atas dua tuduhan terhadapnya. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seorang peniaga didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menjual dan memiliki cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin pada 2018.

Majistret, Nur Faizah Abdul Sani, menjatuhkan hukuman denda RM2,000 ke atas Saiful Hairuddin Abdul Salam, 42, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua serta memerintahkannya dipenjara dua bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Saiful Hairuddin didakwa bukan sebagai orang yang dilesenkan mengikut Akta Racun 1952 untuk menjual racun secara runcit, sebotol Cloud Chasers Sirap Bandung mengandungi nikotin yang disenaraikan dalam Jadual Pertama akta sama di Pusat Komersial Seksyen 7 di sini pada 2.45 petang, 29 Jan 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(1) Akta Racun 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Saiful Hairuddin juga didakwa bukan sebagai orang yang dilesenkan untuk menjual atau membekalkan racun telah memiliki untuk tujuan jualan 40 kotak serta 15 botol cecair rokok elektronik di lokasi dan tarikh yang sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun itu dan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa, Fauziah Mohamed Ismail, memohon denda setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, Saiful Hairuddin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan perniagaan tersebut sudah tidak beroperasi selain dia perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.