Convent Bukit Nanas dibenar cabar keputusan pajakan tanah

Convent Bukit Nanas dibenar cabar keputusan pajakan tanah

Sekolah itu turut diberi masa meminda permohonan semakan kehakiman untuk menukar nama responden dalam tuntutan melibatkan pajakan tanah.

SMK Convent Bukit Nanas mencabar keputusan kerajaan untuk tidak memperbaharui pajakan tanahnya yang tamat pada 6 Sept 2021.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan SMK Convent Bukit Nanas (CBN) mencabar keputusan kerajaan untuk tidak memperbaharui pajakan tanahnya yang bakal tamat pada 6 Sept.

Hakim Noorin Badaruddin membenarkan permohonan Lady Superior of the Society of Saint Maur, yang mengendalikan sekolah itu, selepas M Kogilambigai dari pejabat Peguam Negara, yang mewakili pengarah tanah dan galian Wilayah Persekutuan, tidak membantah perkara itu.

Peguam sekolah itu, Damien Chan, berkata hakim turut memberi masa untuk sekolah berkenaan memfailkan pindaan bagi menggantikan nama pengarah tanah dan galian Wilayah Persekutuan dengan “jawatankuasa eksekutif tanah dan galian Wilayah Persekutuan” sebagai responden.

Beliau memberitahu FMT, mahkamah akan mendengar prosiding bagi menggantung keputusan kerajaan itu pada 4 Mei.

Sekolah perempuan yang ditubuhkan pada 1899 itu adalah antara yang tertua di Malaysia.

Peguam Gopal Sri Ram mengetuai barisan peguam CBN bersama Chan, Yasmeen Soh, Ian Hannibal dan William Lee.

Sekolah itu memfailkan tuntutan mencabar keputusan kerajaan untuk tidak memperbaharui pajakan tanah di Jalan Bukit Nanas, di mana sekolah itu terletak, selepas kerajaan memaklumkan keputusannya menerusi surat bertarikh 18 Dis 2020.

Sekolah itu mendakwa keputusan kerajaan untuk tidak memperbaharui pajakan berkenaan melanggar hak kebebasan asasi dan hak untuk mendapat pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.