Tambah 10,000 kakitangan untuk kesan kontak Covid-19, gesa Ahli Parlimen

Tambah 10,000 kakitangan untuk kesan kontak Covid-19, gesa Ahli Parlimen

MKN dan KKM perlu mengkaji semula faktor yang menyumbang kepada lonjakan kes baru-baru ini, kata Dr Lee Boon Chye.

Tanggungjawab mengawal wabak hampir sepenuhnya digalas oleh KKM, yang sudah pun terbeban dengan sumber yang terhad, kata Dr Lee Boon Chye.
PETALING JAYA:
Berikutan lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini, seorang bekas timbalan menteri kesihatan menyeru agar strategi pengesanan lebih agresif diwujudkan, dengan tambahan 10,000 kakitangan bagi tujuan pengesanan kontak.

 Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye berkata, lonjakan jangkitan Covid-19 kini menunjukkan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mengkaji semula faktor yang menyumbang kepadanya.

KKM melaporkan 2,331 kes baharu dan lima kematian semalam, manakala 2,551 kes dan dua kematian direkodkan pada Jumaat.

Kata Lee, kerajaan harus segera mewujudkan jaringan pengesanan kontak melibatkan tambahan 10,000 kakitangan khas yang diawasi oleh pegawai kesihatan awam.

Dr Lee Boon Chye.

“Penularan virus boleh dikawal melalui pengujian dan pengesanan secara besar-besaran, dan pengasingan kontak rapat dalam tempoh 48 jam.

“Ini hanya boleh dicapai dengan 10,000 kakitangan tambahan,” kata beliau.

Beliau berkata, peningkatan jumlah jangkitan baharu menunjukkan jabatan, agensi dan kementerian kerajaan gagal bekerjasama dalam memerangi wabak tersebut.

“Tanggungjawab mengawal (wabak) hampir sepenuhnya digalas oleh KKM, yang sudah pun terbeban dengan sumber yang terhad,” kata beliau.

Orang ramai juga sudah letih dengan peraturan yang dikenakan bagi menghindari jangkitan, berasa selesa kerana sudah ada vaksin, selain keliru dengan peraturan yang berubah-ubah dan penguatkuasaan undang-undang yang dianggap bersifat berat sebelah.

Azrul Mohd Khalib

CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, bilangan kes baharu akan terus meningkat disebabkan oleh pelbagai varian virus yang kini muncul, serta peningkatan interaksi dalam kalangan anggota masyarakat di bazar Ramadan, solat berjemaah, dan aktiviti lain.

“Kita perlu terus menekankan prosedur operasi standard (SOP) asas seperti memakai pelitup muka, mengamalkan kebersihan tangan yang baik dan mematuhi penjarakan fizikal,” tambah beliau.

Beliau berkata, perintah darurat yang diumumkan oleh kerajaan tidak berkesan dalam membendung penularan virus.

“Boleh dikatakan keadaan tidak berubah, malah menjadi lebih buruk sejak darurat diisytiharkan,” kata beliau kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.