
Oo Yi Qian dari ProVeg International berpendapat, walaupun tahap kesihatan kanak-kanak dipengaruhi pelbagai faktor seperti genetik, kurang bersenam dan tabiat pemakanan di rumah, hidangan di kantin sekolah juga dikenal pasti sebagai faktor persekitaran yang berpengaruh.

“Model kantin tradisional biasanya hanya menitikberatkan aspek kebersihan bagi memastikan hidangan tidak (cepat) basi, namun mereka kurang fikir tentang (kandungan) zat yang diperlukan oleh murid,” katanya kepada FMT.
“Apabila kantin menghidangkan menu seperti nasi lemak, mi atau makanan bergoreng seperti ayam goreng semata-mata, murid tidak mendapat bekalan serat, zat besi serta kalsium yang sepatutnya diperoleh daripada sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan ubi-ubian yang sangat penting untuk perkembangan anak-anak.”
Oo berkata, kekurangan zat penting ini bukan sahaja menjejaskan fizikal, malah mengakibatkan kualiti tidur terganggu, emosi tidak stabil, serta tahap fokus yang lemah sehingga memori murid menjadi kurang tajam semasa sesi pembelajaran.
Menyedari impak tersebut, SHF Services menerusi Delischool kini menerajui model katering berpakar untuk sekolah antarabangsa bagi memastikan setiap hidangan sihat dan seimbang serta mampu menyokong perkembangan otak dan kecemerlangan akademik murid.
Pegawai pemasarannya, Audrey Fernbach berkata, pihaknya tidak menggunakan bahan perasa tambahan yang memudaratkan, sebaliknya fokus kepada penggunaan bahan makanan kaya vitamin dalam setiap hidangan.

“Di kesemua 30 sekolah bawah seliaan kami, terdapat seorang cef berdedikasi bagi setiap premis yang bertanggungjawab merancang menu berdasarkan keperluan komuniti setempat,” katanya.
Menurut Fernbach, cef mereka akan menghasilkan variasi menu kreatif setiap hari merangkumi hidangan tempatan, Asia, Barat, Mediterranean, Timur Tengah dan vegetarian, bagi memberi pengalaman kulinari sambil membentuk budaya pemakanan sihat.
Bagi memastikan piawaian gizi seimbang dipatuhi, beliau menjelaskan pihaknya turut mempunyai pakar nutrisi khusus untuk menyemak setiap menu yang dirangka.
Pakar diet perunding Delischool Indra Balaratnam berkata, setiap perancangan menu mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Pendekatan kami adalah memastikan hidangan itu seimbang dengan kombinasi protein, karbohidrat, sayur-sayuran, buah-buahan dan produk tenusu selain mengurangkan penggunaan makanan ultra-proses,” katanya.
Indra menambah, tanggapan bahawa makanan sihat itu tawar adalah salah kerana penggunaan herba, rempah-ratus serta teknik memasak seperti memanggang dan mengukus mampu menerbitkan rasa yang enak.
Menurutnya, pihak mereka juga memberi perhatian khusus terhadap aspek visual melalui penggunaan sayur-sayuran pelbagai warna dan persembahan hidangan yang lengkap untuk menarik minat murid.
Dalam pada itu, Fernbach memaklumkan, setiap kantin seliaan mereka menerima sijil Garis Panduan Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) daripada KKM, sekali gus mengesahkan kepatuhan terhadap piawaian amalan kantin sihat.
Mengulas mengenai potensi pelaksanaan model tersebut di sekolah kerajaan, Indra berkata, perkara itu tidak mustahil sekiranya semua pihak bersedia merangka mekanisme pelaksanaan yang holistik.
“Impian kami adalah melihat lebih banyak sekolah di Malaysia menawarkan pilihan makanan berkualiti. Kita tidak seharusnya membiarkan murid terdedah kepada risiko kesihatan dengan menyediakan makanan tidak sihat sebagai satu-satunya alternatif yang ada,” tambahnya.