Sangka tiada kawalan waktu Tarawih, lelaki cuba seludup 3,000 telur penyu

Sangka tiada kawalan waktu Tarawih, lelaki cuba seludup 3,000 telur penyu

Suspek cuba menyeludup telur penyu dari Pulau Taganak, Filipina untuk pasaran di Sandakan.

Suspek lelaki warga Filipina ditahan dengan enam guni berisi telur penyu di Sandakan. (Gambar PGA)
PETALING JAYA:
Ketika umat Islam sedang menunaikan solat Tarawih, seorang lelaki warga Filipina dicekup selepas disyaki cuba menyeludup 3,000 biji telur penyu di perairan Nunuyan Darat, Sandakan, malam tadi.

Ketika kejadian pada kira-kira 8.30 malam itu, sepasukan anggota diketuai Mohammad Halil Husairy Hussain sedang menjalankan rondaan laut sempena Op Benteng, menurut Pegawai Memerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan Toipi Lamat.

Anggota bertugas, yang mengesan sebuah bot pam bergerak laju dalam keadaan mencurigakan, telah memintas dan mengarahkan bot tersebut berhenti.

Namun, berlaku kejar-mengejar apabila pengemudi bot itu enggan menurut arahan.

“Bot suspek berjaya dipintas lalu pemeriksaan dijalankan. Namun, suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah sebaik diminta,” kata Toipi dalam satu kenyataan semalam, seperti dilaporkan Harian Metro.

Enam guni berisi 3,000 telur penyu dijumpai hasil pemeriksaan di bahagian hadapan bot berkenaan, namun lelaki itu juga disyaki membuang sejumlah telur penyu ke dalam laut.

“Hasil siasatan mendapati, suspek cuba menyeludup telur penyu itu dari Pulau Taganak, Filipina untuk pasaran di bandar Sandakan,” kata Toipi.

Suspek lelaki itu disyaki memilih waktu solat Tarawih kerana menyangka tiada pasukan keselamatan bertugas pada masa itu.

Telur penyu serta bot bernilai RM10,000 itu juga dirampas untuk tindakan lanjut, kata Toipi, dan kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Imigresen 1959/63.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.