Lagi iklan judi raya dikesan SKMM dimuat naik platform di luar negara

Lagi iklan judi raya dikesan SKMM dimuat naik platform di luar negara

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata, kandungan yang dimuat naik itu tidak perlu melalui Lembaga Penapisan Filem kerana ianya bukan di platform tempatan.

SKMM berkata, 13% daripada 61 kandungan yang berpangkalan di luar negara sudah diturunkan daripada platform media sosial setakat ini.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah menghubungi penyedia platform media sosial untuk menurunkan satu lagi iklan bertema Aidilfitri yang mengajak umat Islam berjudi bagi mendapatkan dana beraya dan balik kampung yang dimuat naik platform berpangkalan di luar negara.

“Kandungan yang dimuat naik itu tidak perlu melalui Lembaga Penapisan Filem kerana ianya bukan di platform tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga kini, katanya, 13% daripada 61 kandungan sudah diturunkan daripada platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube yang berpangkalan di luar negara kerana melanggar terma perkhidmatan serta piawaian komuniti.

SKMM berkata, selebihnya dalam proses penilaian dan penelitian penyedia platform.

Terdahulu, sebuah iklan mempromosikan aktiviti perjudian yang menggunakan lagu Aidilfitri sebagai muzik latar, mengundang kecaman netizen kerana menyinggung sensitiviti umat Islam.

Iklan selama dua minit yang dikeluarkan syarikat judi, GDBet333, itu turut dikecam kerana menggunakan pelakon dipercayai beragama Islam dan mengajak orang ramai meraih wang berganda menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi mencari dana untuk berhari raya.

Susulan itu, Bukit Aman hari ini dilaporkan menahan lapan individu yang disyaki terlibat dalam video promosi judi dalam talian bertemakan Aidilfitri itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima 38 laporan berkaitan video itu yang membawa kepada penahanan lima lelaki dan tiga wanita disyaki pelakon, ejen, artis, juruvideo/kamera serta produser/pengarah video promosi tersebut.

SKMM menggesa pengguna media sosial melaporkan terus penyebaran video yang bercanggah norma masyarakat kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut dan tidak menyebarluaskan kandungan terbabit.

“Perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya.

Tambah SKMM, penyedia kandungan juga perlu mematuhi kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia, manakala kru penerbitan dan pelakon patut lebih peka untuk tidak turut bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian, yang jelas adalah satu kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.