
Kerjasama yang dinyatakan adalah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP).
Presiden FMM Soh Thian Lai berkata, langkah menandatangani kerjasama itu “penting” untuk menstabilkan aktiviti pembuatan dan membina semula rangkaian rantaian bekalan di rantau ini.
Ia dibangkitkan setelah bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Kian Ming menyarankan perkara sama kepada Putrajaya, dengan berkata, ia akan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan perdagangan luar.
Di kala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan komitmennya untuk meratifikasi RCEP menjelang suku pertama 2022, Soh berkata, ia perlu dilaksanakan tahun ini supaya dapat “dimanfaatkan perniagaan pada saat memerlukan”.
Kata beliau, CPTPP juga perlu diratifikasi secepat mungkin untuk menyumbang kepada pemulihan negara daripada impak Covid-19, walaupun tidak ada tarikh akhir bagi Malaysia untuk melaksanakannya.
Berikutan itu, Soh berkata, pengeluar diharap dapat memanfaatkan kepelbagaian sumber import input dan komponen industri, selain tarif yang jauh lebih rendah.
“Perjanjian perdagangan bebas mega ini akan saling melengkapi dan bukan satu persaingan. RCEP dan CPTPP menyediakan kerangka kerja berstruktur untuk kerjasama bagi sektor pembuatan tempatan, menghubungkan kekuatan kami dalam pembuatan dan teknologi dengan kelebihan negara rakan kongsi kami dalam pertanian dan sumber asli,” kata beliau.