
Tinjauan Bernama di bazar Ramadan di Presint 3 mendapati, pengunjung berbaris di luar bazar seawal 4.30 petang dan mematuhi arahan seperti memakai pelitup muka dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera sebelum dibenarkan masuk ke dalam bazar.
Bagaimanapun, masih terdapat segelintir pengunjung membawa kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, sedangkan kumpulan usia tersebut tidak digalakkan memasuki kawasan bazar bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Mohd Fadzil Ali, ketika ditemui di bazar berkenaan berpuas hati dengan situasi dalam dan luar bazar itu.
“Daripada pemerhatian saya, saya dapati hari ini proses keluar dan masuk pengunjung terurus dan tidak sesak. Saya ada berbual dengan beberapa pengunjung yang sedang beratur, menurut mereka, mereka tidak beratur lama,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini lapan anggota polis ditugaskan memantau pematuhan SOP manakala empat anggota ditugaskan bagi mengawal keadaan trafik di sekitar bazar.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Komersial, Pembangunan Perniagaan dan Pelesenan Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Noor Sita Abbas, berkata sebanyak 800 pas bernombor disediakan dengan 400 masing-masing di dua pintu masuk bazar.
“Idea untuk menyediakan pas ini adalah hasil pemantauan sejak hari pertama Ramadan. Kami dapati pengunjung agak sesak. Maka dengan adanya sistem ini, nampak lancar dan kurang kesesakan di dalam bazar,” katanya.
Bagi memantapkan tahap pematuhan SOP, Noor Sita berkata kira-kira 30 anggota penguat kuasa PPj ditugaskan yang turut dibantu anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan pihaknya membuat pengumuman mengenai pematuhan SOP setiap 30 minit.
Terdapat 160 gerai di tapak bazar itu dan bilangan pengunjung boleh mencecah 20,000 setiap hari.