Kerenah birokrasi halang usaha daftar pekerja asing, kata kumpulan aktivis

Kerenah birokrasi halang usaha daftar pekerja asing, kata kumpulan aktivis

Banyak majikan mengambil jalan mudah dengan mengambil pekerja tanpa dokumen untuk menyudahkan kerja mereka.

Pekerja tanpa dokumen diberi tempoh sehingga 30 Jun untuk didaftarkan atau diminta meninggalkan negara.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak migran berkata, banyak aduan diterima daripada majikan dan syarikat berhubung masalah yang dihadapi apabila mereka cuba mengesahkan pekerja masing-masing di bawah program pelarasan semula atau pengampunan kerajaan.

Justeru katanya, banyak majikan yang mengambil jalan mudah dengan mengambil pekerja tanpa dokumen untuk menyudahkan kerja mereka.

“Tiada ketelusan atau langsung,” kata pengarah eksekutif Tenaganita Glorene Das kepada FMT sebagai respons kepada laporan serbuan imigresen ke atas pekerja asing tanpa dokumen di banyak tapak pembinaan.

“Mereka dipaksa menunggu oleh Jabatan Imigresen atau Kementerian Dalam Negeri. Banyak wang dibelanjakan dalam proses itu tanpa apa-apa jaminan kepada majikan.

Glorene Das.

Ramai pengguna media sosial mempersoalkan kenapakah majikan yang mengupah pekerja asing tanpa dokumen tidak berdepan tindakan undang-undang.

Das berkata, pengenaan denda lebih tinggi ke atas majikan yang mengupah pekerja asing bukanlah penyelesaian mudah kepada masalah lama dan sistemik melibatkan pekerja asing tidak berdaftar.

“Ada majikan yang bagus. Sesetengahnya melepaskan pekerja mereka dan mengambil semua langkah bagi mendaftarkan pekerja terbabit, tetapi sistemnya mengambil masa terlalu lama,” katanya.

“Mereka kerap menuntut lebih banyak wang, dan kami diberitahu bahawa terdapat beberapa lapisan ejen yang terlibat.”

Katanya, perlu ada dasar migrasi pekerja kebangsaan walaupun kerajaan komited untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

Das berkata, pekerja asing masing diperlukan di semua sektor. Pada tahun lepas rakyat Malaysia didapati tidak berminat untuk melakukan pekerjaan 3D (kotor, bahaya, sukar).

Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan bersetuju bahawa proses pendaftaran pekerja asing sukar dan mengambil masa.

Shamsuddin Bardan.

“Ia menjadi lebih sukar apabila hanya Jabatan Imigresen diberikan tugas memproses permohonan dari seluruh Semenanjung,” katanya.

Shamsuddin berkata, tempoh masa bagi program itu, iaitu dari 16 Nov tahun lepas hingga 30 Jun juga terlalu pendek.

Katanya, pengampunan hanya terpakai kepada pekerja dalam sektor pembinaan, pengilangan, perladangan dan pertanian.

Dalam pada itu kata beliau, kriteria yang ditetapkan ke atas majikan dan pekerja asing juga sempit.

Bilangan pekerja asing yang didaftarkan juga tertakluk kepada kuota yang diluluskan oleh Jabatan Buruh.

Beliau berkata, sebilangan besar pekerja asing tanpa dokumen yang sedia berada di negara ini tidak layak memohon kerana bukan semua dalam kalangan mereka bekerja dengan majikan, malah ramai yang bekerja sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.