Keputusan rayuan bekas staf MB Selangor berhubung pampasan VSS dibuat Isnin

Keputusan rayuan bekas staf MB Selangor berhubung pampasan VSS dibuat Isnin

MBI sebelum ini menyaman mereka bagi mendapatkan semula pembayaran pampasan yang dikatakan dibuat tanpa kebenaran.

Pada 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bayaran pampasan kepada bekas staf Khalid Ibrahim adalah sah, namun pada 2018, Faekah Hussin dan Rohany Talib diperintahkan Mahkamah Rayuan untuk memulangkan RM1.219 juta kepada MBI.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan berhubung rayuan bekas staf bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim yang disaman oleh Selangor Menteri Besar Incorporated (MBI) bagi mendapatkan semula pembayaran pampasan yang dikatakan dibuat tanpa kebenaran, Isnin ini.

New Sin Yew, salah seorang daripada peguam yang mewakili bekas staf berkenaan, dan peguam Edwin Lim yang mewakili MBI, ketika dihubungi mengesahkan hal ini, dan New berkata keputusan itu akan disampaikan menerusi aplikasi Zoom.

Pada 6 Jan lalu, panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf menangguhkan keputusan mahkamah selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.

Pada 2018, bekas ketua pegawai eksekutif MBI Faekah Hussin dan bekas ketua pegawai operasi Rohany Talib diperintahkan Mahkamah Rayuan pada 2018 untuk memulangkan RM1.219 juta kepada MBI yang dibayar kepada mereka.

MBI turut menamakan lima lagi bekas pegawai sebagai responden dalam samannya tetapi Mahkamah Rayuan tidak mengeluarkan sebarang perintah ke atas mereka.

Mereka terdiri daripada Arfa’eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd Talib, Rahimah Kamarudin, Sulaiman Masri, Abdul Halim Mohamed Yusof dan Tuan Nazuri Tuan Ismail.

Ketujuh-tujuh mereka yang juga diwakili peguam Edmund Bon Tai Soon, selain New, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Pada 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bayaran pampasan kepada ketujuh-tujuh mereka adalah sah.

Namun Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan menyatakan keputusan dibuat menteri mesar dalam kapasitinya sebagai pengerusi MBI perlu mendapat kelulusan lembaga pengarah.

Pada 11 Mei 2015, MBI memfailkan saman itu dan menuntut semula wang yang dibayar kepada mereka melalui skim pemberhentian secara sukarela (VSS) pada 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.