
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, zon warna Covid-19 tidak lagi memadai atau berguna kerana setiap zon meliputi kawasan yang luas menyebabkan langkah menutup semua sekolah di zon merah tidak praktikal.
“Kita perlu tahu lokasi atau komuniti sebenar yang mengalami kes penyebaran aktif virus berkenaan supaya sekolah boleh membuat keputusan berdasarkan lokasi asal pelajar atau guru terbabit,” katanya kepada FMT.
Beliau memberi respons terhadap gesaan Kesatuan Guru Sarawak supaya Kementerian Pendidikan (KPM) menutup segera semua sekolah di zon merah susulan peningkatan jumlah guru yang dijangkiti dan dikuarantin berikutan pembukaan semula sekolah secara besar-besaran bulan lepas.

Lee berkata, guru dan ibu bapa bimbang kerana mereka tidak yakin dengan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.
Beliau berkata, KPM hanya memberi tumpuan kepada SOP, namun gagal menyedari bahawa sistem pendidikan perlu direformasi seperti mengurangkan jumlah hari bersekolah dan memperkenalkan lebih banyak aktiviti serta silibus yang membolehkan pelajar belajar di luar bilik darjah.
Katanya, pelajar boleh datang ke sekolah selama dua atau tiga hari, sebelum menyambungnya dengan pendidikan atas talian atau membuat kerja rumah pada hari lain.
Beliau juga menggesa kementerian supaya tidak mengandaikan bahawa keadaan akan kembali seperti biasa selepas berakhirnya pandemik berkenaan.
Sebaliknya, katanya, kerajaan perlu bertindak pantas.

Dalam pada itu, presiden Kumpulan Bertindak Ibu bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim juga tidak bersetuju dengan langkah penutupan semua sekolah di zon merah kerana pendidikan akan terganggu semula.
Beliau berkata, semua sekolah tidak perlu ditutup melainkan berlaku kekurangan tenaga kerja.
“Ibu perlu ada budi bicara dan tidak menghantar anak mereka ke sekolah jika risiko jangkitan di sekolah atau kawasan tertentu tinggi,” katanya.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia MMA) Dr Subramaniam Muniandy bagaimanapun berkata, sekolah di zon merah di Sarawak hendaklah ditutup dan kembali kepada kaedah pembelajaran atas talian susulan peningkatan mendadak kes Covid-19.
Katanya, sekolah harus dibuka semula hanya apabila kadar kebolehjangkitan (R0) jatuh di bawah 1.0 dan bilangan kes baharu jatuh kepada dua atau satu angka.
“Benarkan hanya pelajar tanpa gajet atau akses internet hadir kelas bersemuka dengan SOP ketat,” katanya.
Beliau juga berkata, KKM hendaklah menggunakan khidmat doktor persendirian untuk melakukan ujian saringan massa di kawasan sasaran bagi mengawal penularan Covid-19 di Sarawak.