Pelayan restoran mengaku tak salah pukul teman wanita dengan tukul besi

Pelayan restoran mengaku tak salah pukul teman wanita dengan tukul besi

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Norzalizawati Md Nor, 41, menggunakan sebatang tukul besi di sebuah rumah kedai di Taman Desa, kira-kira 8 malam, 3 Mac lalu.

Mohd Izham Hiffnie Mahadir, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang pelayan restoran didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas teman wanitanya dengan menggunakan sebatang tukul besi, bulan lepas.

Bagaimanapun, Mohd Izham Hiffnie Mahadir, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Norzalizawati Md Nor, 41, menggunakan sebatang tukul besi di sebuah rumah kedai di Taman Desa, kira-kira 8 malam, 3 Mac lalu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan difahamkan tiada ahli keluarga tertuduh hadir ke mahkamah untuk menjaminnya.

Dalam prosiding itu, tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 31 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.