
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Zainuddin Yaacob berkata, sehingga kini pihaknya menerima empat laporan berkaitan kes terbabit yang membabitkan kerugian berjumlah RM22,300.
“Siasatan mendapati mangsa menerima emel kononnya dihantar pihak Maybank menyatakan akaun bank mereka mempunyai masalah keselamatan dan mangsa diminta menekan pautan yang disertakan bersama emel terbabit.
“Bila pautan itu ditekan, laman sesawang palsu yang kelihatan seperti laman sesawang Maybank2u akan dipaparkan dan mangsa tidak menyedari yang itu adalah laman sesawang palsu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Zainuddin berkata, mangsa mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan selepas melakukan kemas kini butiran peribadi, kata laluan dan nombor telefon seperti yang diminta melalui laman sesawang palsu berkenaan.
Katanya, terbaru kes yang berlaku menyaksikan mangsa menerima pautan laman sesawang palsu itu daripada satu iklan cabutan bertuah Maybank yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook.
“Kita minta orang ramai berhati-hati dengan memastikan alamat URL yang dipaparkan bagi laman sesawang Maybank2u yang dibuka benar-benar sama dengan alamat laman sesawang Maybank2u.
“Orang ramai juga perlu berhubung dan mendapatkan pengesahan pihak bank sekiranya menerima emel yang meminta mereka mengemas kini maklumat peribadi melalu laman sesawang bank Maybank2u,” tambahnya.
Zainuddin berkata, orang ramai juga boleh berhubung dengan ‘Scam Response Center’ JSJK di talian 03-26101559 atau 03-26101599 sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan atau keraguan berkaitan sesuatu urusan yang disyaki ada kaitan dengan penipuan.