
Dalam kenyataan, Suhakam berkata Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama dan tiada sesiapapun patut dipukul, dihina atau diaibkan kerana berbuat demikian.
“Dalam hal ini, majikan patut berusaha menghormati kebebasan agama atau berkepercayaan, termasuk hak pekerja untuk mengakui, menzahirkan kepercayaan dalam bersembahyang, perayaan, amalan dan ajaran agama mereka walaupun di tempat kerja.”
Suhakam menggesa majikan di semua sektor memastikan langkah sewajarnya dilakukan untuk menghalang dan menghapuskan semua bentuk sikap tak bertoleransi, ketaksaksamaan dan diskriminasi terhadap agama.
Katanya, wujud keperluan untuk menyemai budaya hormat-menghormati, tolak ansur, kesaksamaan dan tidak diskriminasi dalam masyarakat.
“Setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan untuk mewujudkan persekitaran yang saling menghormati dan meraikan kepelbagaian agama.”
Semalam, dua lelaki dikatakan pengawal peribadi, mendakwa dipukul menggunakan rotan oleh majikan mereka dan seorang lagi pekerja.
Kejadian berlaku di rumah majikan terbabit di Bukit Tinggi, Klang, selepas mangsa dimarah kerana berpuasa.
Polis telah menahan empat individu bagi membantu siasatan.