Siasat polis terhadap ‘reman berantai’ juvana, kata SUARAM

Siasat polis terhadap ‘reman berantai’ juvana, kata SUARAM

Kumpulan hak asasi itu mahu SUHAKAM menyiasat polis yang didakwa melanggar Kanun Prosedur Jenayah kerana 'reman berantai' remaja berusia 18 tahun yang dilaporkan turut diseksa.

Kumpulan hak asasi itu mahu SUHAKAM menyiasat polis yang didakwa melanggar Kanun Prosedur Jenayah kerana ‘reman berantai’ remaja berusia 18 tahun yang dilaporkan turut diseksa.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyiasat polis kerana didakwa melanggar Kanun Prosedur Jenayah dengan reman berantai terhadap seorang remaja bagi kesalahan dadah.

Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy, berkata Mitheswaran Kumar, 18, direman beberapa kali dari 26 Feb hinggga 11 Mac bagi siasatan berkaitan pelbagai kesalahaan termasuk mencuri dan dadah.

Malah dari 12 Mac sehingga kini dia direman bawah Akta Pencegahan Jenayah.

Sevan menuduh polis memohon perintah reman beberapa kali selepas gagal memperoleh bukti yang diperlukan untuk mendakwanya atas sebarang tuduhan.

Mitheswaran ditahan di Bukit Mertajam pada 12 tengah hari, 26 Feb. Siasatan awal terhadapnya melibatkan tuduhan bawah Akta Dadah Berbahaya.

Susulan itu, dia direman bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Seven berkata, Mitheswaran ditahan di beberapa lokap polis berbeza sepanjang tempoh ini.

Dia pertama kali dibawa ke balai polis di Machang Bubok pada 26 Feb sebelum ditahan pula di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Perda pada hari sama.

Seterusnya, dia ditahan di Balai Polis Hi-tech pada 6 Mac, Ibu Pejabat Polis Daerah Polis Kulim (7 Mac) sebelum kembali ke Bandar Perda pada 11 Mac, dan seterusnya ditahan pula mengikut Akta Pencegahan Jenayah.

Sevan berkata, berdasarkan kronologi, majistret sekadar mengeluarkan saja perintah reman asalkan ada siasatan reman baharu.

“Ini jelas menunjukkan tiada semak dan imbang kerana majistret gagal melihat bahawa berlakunya salah guna kuasa.

“Lebih membimbangkan apabila majistret berkenaan seolah-olah sekadar ‘cop getah’ untuk membolehkan polis menggunakan Akta Pencegahan Jenayah terhadap seorang pesalah bawah umur,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada SUHAKAM di ibu pejabat badan itu, hari ini.

Beliau berkata, berlaku pelbagai pelanggaran hak asasi malah Sevan mendakwa Mitheswaran diseksa menggunakan renjatan elektrik ketika penahanannya.

Sementara itu, ibu Mitheswaran, Priscilla Devi Thurai, 48, berkata dia turut diminta membayar kos makan anaknya ketika dalam tahanan.

“Mereka menyuruh saya membeli makanan dan memberikan mereka wang,” katanya kepada pemberita.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph, yang menerima aduan itu berkata isu reman berantai sudah lama diperhatikan oleh pihaknya.

Katanya, walaupun perintah reman seperti itu sah, siasatan polis sepatutnya lebih cekap dan berkesan untuk mengelak penahanan reman berantai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.