7 menteri diminta kemuka laporan kesan pengecualian kabotaj, kata KJ

7 menteri diminta kemuka laporan kesan pengecualian kabotaj, kata KJ

Semua menteri berkaitan perlu membentangkan laporan terbabit bersama cadangan dalam tempoh dua minggu.

Pengecualian dasar kabotaj untuk kerja pembaikan kabel dasar laut dibincangkan Kabinet hari ini.
PETALING JAYA:
Mesyuarat Kabinet hari ini meminta beberapa kementerian mengemukakan laporan mengenai kesan pengecualian dasar kabotaj terhadap pelaburan digital dan perkapalan tempatan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, ia membabitkan kementeriannya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Pengangkutan (MOT), Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Katanya, semua menteri berkaitan perlu membentangkan laporan terbabit bersama cadangan dalam tempoh dua minggu.

“Pengecualian dasar kabotaj untuk kerja pembaikan kabel dasar laut dibincangkan dalam Kabinet hari ini.

“Menteri MITI, MOF, KKMM, MOT, EPU, MEDAC dan MOSTI diarah supaya memberi laporan berhubung kesan terhadap pelaburan digital dan industri perkapalan tempatan,” katanya di Twitter.

Pada Mac 2019, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mengecualikan kapal asing daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia Seksyen 65KA (1), jika kapal asing itu terbabit dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan Malaysia.

Bagaimanapun, ia dibatalkan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong pada 15 Nov 2020 dan beliau menolak dakwaan keputusan itu akan menjejaskan pelaburan dalam negara.

Baru-baru ini, Facebook dan Google mengumumkan kerjasama untuk membangunkan dua kabel dasar laut bagi meningkatkan capaian internet antara Singapura, Indonesia dan Amerika Utara.

Pemansuhan pengecualian kabotaj negara didakwa sebagai punca Malaysia dikecualikan daripada projek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.