Pelanggan, peniaga bazar redah ribut pada hari pertama Ramadan

Pelanggan, peniaga bazar redah ribut pada hari pertama Ramadan

Bazar Ramadan di Selangor dan Kuala Lumpur kembali selepas ‘bercuti’ tahun lalu akibat pandemik, namun peniaga kini berdepan keadaan cuaca tidak menentu.

Pelanggan meredah hujan untuk membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan Seksyen 17, Petaling Jaya petang tadi.
PETALING JAYA:
Bazar Ramadan mula beroperasi semula di Lembah Klang, walaupun dilanda ribut yang mampu melemahkan semangat peniaga dan pengunjung.

Tinjauan FMT di dua bazar di Selangor dan Kuala Lumpur mendapati pelanggan bersiap sedia dengan payung dan meredah hujan untuk membeli juadah berbuka puasa.

Antaranya termasuk ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, yang menyifatkannya “malang” kerana dilanda cuaca buruk pada hari pertama Ramadan memandangkan bazar dibatalkan tahun lalu.

“Sudah pasti tidak ramai akan berniaga ketika hujan kerana pelanggan juga kurang, namun saya datang untuk memberikan sokongan, selain melihat apa yang ditawarkan peniaga tahun ini,” katanya ketika ditemui di bazar Seksyen 17, Petaling Jaya.

Rajiv berharap cuaca lebih baik pada hari mendatang untuk memudahkan peniaga dan orang ramai.

“Mereka mengambil masa lama memasak dan membuat persiapan pada pagi atau petang, tetapi tiba masanya tidak dapat berniaga pula. Memang keadaan ini mencabar bagi mereka dan saya berharap mereka terus tabah.”

Nazri Ahmad, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di bazar Ramadan berkata, tidak ramai peniaga hari ini disebabkan hujan walaupun kira-kira 30 gerai didaftarkan akan beroperasi.

Bagaimanapun katanya, pelanggan dan peniaga rata-rata mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka, mengimbas suhu badan dan mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera.

Nazri berkata, walaupun permulaannya dilihat agak lembap, sesekat akan diletakkan di pintu masuk bazar esok kerana lebih ramai pengunjung dijangka datang.

Peniaga murtabak, Siti Sherfeeka mengakui bimbang dengan keadaan cuaca, selain tidak dapat menjangkakan sama ada jualannya mampu laris memandangkan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan bererti orang ramai lebih berhati-hati apabila berbelanja.

“Bagaimanapun, saya menjangkakan lebih ramai orang mulai hari kedua Ramadan,” katanya sambil menambah tiada masalah untuk mematuhi SOP kerana gerai dijarakkan antara satu sama lain.

Nur Azila yang menjual “roti john” dengan keluarganya mengakui keadaan cuaca, terutamanya hujan yang lebih kerap agak membimbangkan mereka.

Katanya, pandemik memaksa mereka sekeluarga bercuti daripada perniagaan sampingan ketika Ramadan, sebaliknya hanya memfokuskan kerja harian mereka.

Walaupun bimbang dengan pematuhan SOP, Azila berkata, bazar itu mencontohi pasar malam serta pasar tani di kawasan itu.

Sementara itu, FMT mendapati pengunjung di saiz bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur jauh lebih kecil berbanding sebelum penularan pandemik.

Afifuddin Kusnowadi yang juga petugas di bazar itu berkata, SOP ketat dikenakan dengan gerai dijarakkan lebih 1m.

Katanya, jawatankuasa penganjur turut memantau keadaan bagi memastikan semua pengunjung mematuhi SOP dengan masuk serta keluar dari laluan ditetapkan.

“Apabila beratur di gerai, kita memastikan mereka menjaga jarak 1m dan peniaga tidak sihat tidak dibenarkan berniaga.”

Katanya, mereka yang berusia 15 tahun ke bawah juga tidak digalakkan ke bazar itu.

Peniaga, Noor Hisyam Nasir, mengakui keadaan di bazar itu tidak semeriah dahulu kerana orang ramai yang bimbang dijangkiti virus mengambil jalan selamat dengan tidak keluar rumah.

“Pengunjung bazar kurang sebanyak 30% pada hari pertama. Selalunya keadaan lebih meriah dan sesak. Mungkin orang malas beratur panjang dan perlu berdiri dengan jarak 1m sesama mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.