Isunya adalah intipan telefon, bukan pakatan PKR-Umno, kata Zaid

Isunya adalah intipan telefon, bukan pakatan PKR-Umno, kata Zaid

Menurut Zaid Ibrahim, tiada masalah dengan perbualan antara Ahmad Zahidi Hamidi dan Anwar Ibrahim, tetapi pengintipan panggilan telefon salah di sisi undang-undang.

Zaid Ibrahim berkata tiada unsur jenayah terlibat dalam perbualan telefon yang kononnya antara Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim seperti didedahkan.
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri undang-undang menarik perhatian kepada isu pengintipan panggilan telefon dan pelanggaran hak privasi yang tercetus daripada perbualan telefon yang kononnya antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim seperti yang didedahkan baru-baru ini.

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim berkata, perdebatan semasa mesti melangkaui topik kemungkinan kerjasama antara Umno dan PKR.

“Rakyat tidak sepatutnya terlalu teruja mendengar Zahid bercakap dengan Anwar, kerana tiada salahnya di situ. Bukannya mereka merancang sesuatu yang melanggar undang-undang.

“Isu sebenarnya adalah sama ada perbualan kita sedang diintip. Ini sangat membimbangkan, dan tidak seharusnya berlaku,” kata beliau.

Zaid berkata, perbualan telefon biasa tidak boleh diintip kecuali pihak berkuasa mempunyai sebab-sebab tertentu untuk mengesyaki jenayah berat sedang dilakukan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebelum ini mendesak Zahid dan Anwar untuk membuat laporan agar siasatan dapat dimulakan, namun kata Zaid, polis sepatutnya memulakan siasatan lebih awal.

Tambah beliau, polis mempunyai kuasa yang cukup untuk membuka kertas siasatan, sama ada laporan dibuat atau tidak.

“Ketika saya didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia, tiada sesiapa yang mengemukakan laporan. Bukit Aman (yang buat laporan). Oleh itu, idea bahawa sesuatu hal tidak dapat disiasat kecuali selepas laporan dibuat tidak masuk akal,” kata beliau.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, kementeriannya akan menyiasat kesahihan rakaman audio itu, sementara polis sudah memulakan siasatan selepas beberapa laporan dibuat, dan mengirimkan salinan rakaman itu ke makmal forensik untuk menentukan kesahihannya.

Tidak diketahui sama ada polis menumpukan kepada mencari individu yang mengintip perbualan telefon tersebut atau mengenal pasti individu dalam perbualan itu.

Zahid dan Anwar menafikan mereka terlibat dalam rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan yang berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno bulan lalu dan memberi gambaran bahawa kedua-dua pemimpin itu bekerjasama.

Peguam privasi Foong Cheng Leong memberitahu FMT, kuasa untuk memintas komunikasi biasanya hanya digunakan dalam kes yang melibatkan kesalahan serius seperti keganasan atau jenayah terancang.

Tambah beliau, pengintipan panggilan telefon hanya boleh dilakukan dengan izin. Sebagai contoh, pemintasan dalam kes-kes bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 mesti mendapat kebenaran pendakwa raya.

Berkenaan beberapa dakwaan berhubung kerajaan menjadi dalang rakaman audio yang dibocorkan itu, Foong berkata, tiada siapa yang tahu secara pasti bahawa kerajaan yang mengintip perbualan telefon tersebut.

“Boleh jadi telefon yang digunakan terkompromi melalui pemasangan aplikasi mudah alih tertentu,” kata beliau, merujuk kepada penggodam telefon.

Sekiranya ini benar, kata Foong, mungkin wujud kesalahan yang dilakukan mengikut Akta Jenayah Komputer 1997, sambil menambah, mungkin ada “cause of action” untuk menceroboh privasi, antara lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.