Sekatan perjalanan musnahkan harapan pemulihan segera, kata badan pemikir

Sekatan perjalanan musnahkan harapan pemulihan segera, kata badan pemikir

Ia berkata, sekatan berterusan merupakan ‘tindak balas keterlaluan’ terhadap keadaan wabak Covid-19.

PETALING JAYA:
Sekatan berterusan ke atas perjalanan antara negeri dan antarabangsa bermakna pemulihan segera ekonomi akan tertangguh, kata seorang pakar ekonomi.

Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran berkata, langkah kerajaan menyekat perjalanan dan aktiviti ekonomi tertentu serta tidak membenarkan Parlimen bersidang adalah “tindak-balas keterlaluan” terhadap keadaan wabak Covid-19 yang tidak logik dan tidak mengambil kira bukti saintifik dengan sebaiknya.

Beliau berkata, walaupun pihak berkuasa kesihatan menyediakan kemas kini bilangan kes Covid-19, namun tidak terdapat cukup maklumat mengenai pecahan ujian yang dijalankan untuk memahami keadaan sebenar di lapangan.

“Namun jelas bahawa bilangan kes tidak berubah secara drastik walaupun sekatan dilonggarkan.

Carmelo Ferlito

Beliau berkata, dalam menetapkan dasar, kerajaan harus melihat pada kadar kematian di negara ini yang sangat rendah, iaitu 0.37%, bukannya bilangan kes yang boleh berubah mengikut bilangan ujian yang dijalankan.

“Di Malaysia, kadar pulih jika anda dijangkiti Covid-19 ialah 99.6%. Ini jauh lebih tinggi berbanding banyak penyakit lain.

“Malah kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia, iaitu nisbah kes yang berakhir dengan kematian, adalah antara paling rendah jika dibandingkan dengan jiran serantau dan negara lain dengan saiz penduduk yang serupa, selain jauh lebih baik berbanding purata dunia iaitu 2.02%.

“Apabila berkait kesihatan, kerajaan menekankan analisis keseimbangan. Ia berkata manfaat vaksin mengatasi risikonya, tetapi ceritanya berbeza apabila berkait ekonomi.”

Ferlito berkata, langkah sekatan pergerakan dan larangan perjalanan yang berterusan amat merosakkan ekonomi, dan akibatnya seperti hutang lebih tinggi dan inflasi dan sebagainya jarang dibincangkan.

Beliau berkata, ini jelas daripada angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 2020, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Sewaktu tiga negara jiran itu menunjukkan pembaikan dalam angka ekonomi mereka, Malaysia tersisih daripada trend tersebut.

“Jelas risiko mengatasi manfaat, tetapi kerajaan tidak bercakap tentang perkara ini. Jadi wujud kontradiksi besar,” katanya, selain menambah bahawa realitinya tidak wujud “risiko-sifar” dalam kehidupan, sama ada vaksin atau ekonomi.

“Jika anda mahu melihat kos sebenar langkah sekatan ke atas pekerjaan, anda hanya perlu melihat data mereka yang mula terlibat dengan Grab, Foodpanda dan beberapa pekerjaan dalam gig ekonomi.

“Kemudian baharu kita tahu berapa ramai yang akan kehilangan pekerjaan jika pekerjaan sebegini tidak wujud.

Beliau berkata, adalah pelik jika sekatan perjalanan dikekalkan ketika semua sekatan lain dibenarkan.

“Anak-anak boleh pergi ke sekolah, orang boleh pergi dan menonton permainan bola sepak, tetapi kita tidak boleh melakukan perjalanan.

“Justeru kawasan di luar Lembah Klang dan bandar besar lain terutamanya akan lebih rugi berbanding yang lain, sektor pelancongan dan runcit akan terus menderita.

“Apakah logiknya membiarkan pusat membeli-belah di Selangor dibuka, tetapi tidak membenarkan orang pergi ke Melaka untuk bercuti?”.

Beliau berkata, walaupun boleh difahami bahawa pihak berkuasa ingin berhati-hati, namun ia harus masuk akal.

“Paling penting kita mengikuti SOP. Kenyataannya ialah manfaat jangka panjang membiarkan kehidupan diteruskan secara‘normal’ adalah melebihi risiko, terutama ketika kita sekarang tahu apakah yang kita hadapi, bagaimana cara mencegahnya, dan melancarkan program vaksinasi.

Beliau berkata, dengan mengelak sekatan, lebih banyak sumber dapat dilaburkan untuk mengkaji rawatan jangka panjang melampaui vaksin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.