
Menterinya, Dr Adham Baba berkata, Sarawak mencatatkan 39 kluster komuniti dalam tempoh empat bulan lalu, dengan 21 daripadanya berpunca daripada perjumpaan sosial. Selain itu, 17 kluster aktif membabitkan tempat kerja.
Beliau bercadang mengadakan mesyuarat khas dengan pegawai kesihatan dan pengarah hospital di Sarawak hari ini untuk membincangkan situasi terkini Covid-19, kata beliau.
“Sejak 9 Jan, jumlah kes positif di Sarawak menunjukkan trend peningkatan. Kita perlu memastikan bantuan disediakan dan Sarawak boleh menguruskan penularan virus,” kata beliau dalam sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini.
Menurut Adham, kadar kebolehjangkitan virus, atau R-naught (R0), di seluruh negara kini pada nilai 1.06, walaupun KKM meramalkan bahawa jumlah kes harian akan menurun kepada purata 500 kes menjelang pertengahan Mei.
Kata beliau, jumlah kes harian ketika ini “tidak menggalakkan” dan beliau mengaitkannya dengan kekurangan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Adham turut mengumumkan hospital swasta kini boleh mendaftar untuk menyertai fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melalui www.protecthealth.com.my.
Khairy, yang juga menteri penyelaras program itu, berkata kadar vaksinasi yang perlahan di negara ini disebabkan penghantaran perlahan oleh pengeluar vaksin.
Bagaimanapun, beliau berkata, kadar vaksinasi dijangka meningkat mulai Jun.
Kata beliau, kelewatan itu akibat masalah rantaian bekalan antarabangsa, dengan negara maju “menempah” jumlah vaksin yang banyak.
“Ketamakan negara-negara maju ini ialah satu sebab kenapa negara membangun seperti Malaysia, malah negara seperti Australia, menghadapi masalah bekalan vaksin.”
Khairy memberi jaminan terdapat dos mencukupi untuk melengkapkan fasa pertama program imunisasi sebelum fasa kedua bermula pada 17 April.
Lebih banyak bekalan vaksin akan diterima setiap minggu dalam bulan ini, yang berjumlah 712,530 dos, kata beliau.
“Kami turut melihat tambahan 200,000 vaksin disiapkan dari kilang Sinovac di China. Pertambahan bekalan ini cukup untuk menamatkan fasa pertama dan memulakan fasa kedua,” tambah beliau.
Khairy berkata, mereka yang berusia 60 tahun ke atas akan diberikan vaksin Sinovac, berdasarkan ujian dijalankan di Brazil.
Kata beliau, hasil kajian ke atas data itu oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 menunjukkan kadar keberkesanan sehingga 83.7% bagi kes sederhana dan 100% bagi kes serius.
Mengulas keputusan Malaysia menghantar 50,000 dos vaksin Covid-19 ke Bosnia-Herzegovina, Khairy berkata, Jemaah Menteri bersetuju memberikan vaksin Sinovac itu selepas presidennya mengemukakan permintaan itu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Masa penghantaran (50,000 dos vaksin itu) akan berdasarkan program imunisasi kita. Ia tidak akan menjejaskan jadual kita,” kata beliau.